fbpx

Buli: Polis rakam keterangan pengetua, pelajar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

IPOH – Polis telah merakam keterangan tiga individu bagi membantu siasatan kes buli membabitkan mangsa pelajar Tingkatan Tiga sebuah sekolah sukan di Gunung Rapat di sini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, tiga individu itu terdiri daripada pengetua sekolah serta dua pelajar dan siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera.

“Pihak polis telah menerima satu laporan polis kelmarin (Isnin) daripada seorang wanita yang mendakwa anak lelakinya dibuli pelajar berusia 17 tahun di asrama sekolah. Pelajar yang membuli mangsa itu telah pun dikenal pasti dan dia telah diarahkan pihak sekolah supaya tidak menetap di asrama sementara menunggu siasatan dalaman selesai,” katanya di sini hari ini.

Menurut Yahaya, dalam kejadian itu, mangsa berusia 15 tahun dan berasal dari Kuala Lumpur mengalami kecederaan tisu lembut akibat dipukul suspek.

“Siasatan awal mendapati, mangsa telah dibuli beberapa kali oleh suspek. Kertas siasatan kes ini akan dilengkapkan dalam masa terdekat dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairudin Abu Hanipah mengesahkan seorang pelajar sebuah sekolah sukan di daerah Kinta cedera akibat dibuli.

Dalam kejadian itu, mangsa yang juga atlet sepak takraw telah ditendang dan dipijak pelajar Tingkatan Lima sekolah sama.  – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI