fbpx
Mangsa boleh mengalami kemurungan jika berterusan diganggu.

‘Stalker’ psiko ibarat bom jangka, ganggu pengguna media sosial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Lelaki yang obses sehingga sanggup melakukan apa sahaja termasuk mengekori wanita mampu bertindak lebih agresif sehingga menimbulkan ketakutan kepada mangsa.

Tidak cukup itu, stalker atau penghendap media sosial yang terlalu taasub kepada seseorang juga sanggup bertindak di luar kawalan dengan menghampiri mangsa dan membuat gangguan seksual melampau.

Individu seperti ini dika­tegorikan sebagai penghendap patologikal yang bersikap narsisistik dan selalu beranggapan mangsa adalah milik mutlak mereka.

Menurut Pakar Psikiatri dan Ahli Jawatankuasa Persatuan Psikiatri Malaysia, Dr. Ahmad Rostam Md Zin, penghendap patologikal biasanya menyukai seseorang secara diam-diam atas sebab tertentu selain bijak menyorok perasaan mereka.

“Lain pula cerita apabila sec­ret admirer (pemuja rahsia) ini bertukar menjadi obses dan agresif. Jika mangsa berasa kurang se­nang, secret admirer ini bertukar menjadi stalker atau penghendap,” jelasnya.

Ahmad Rostam memberitahu, penghendap biasanya bersikap obsesif dan kompulsif, tidak boleh menerima hakikat cinta ditolak dan mempunyai perasaan cinta yang membuak-buak sehingga tidak dapat mengawal tindakan serta perasaan.

“Kadangkala mereka juga sukar untuk memisahkan antara realiti dan fantasi dan jika tidak dilayan, perasaan cinta bertukar menjadi amarah,” ujarnya.

Tambahnya, antara ciri-ciri penghendap patologikal adalah terlalu obses dengan individu yang mereka sukai.

“Mereka akan cuba sedaya-upaya berhubung dengan mang­sa sama ada melalui media sosial, e-mel, surat dan sebagainya walaupun ditolak berkali-kali selain mereka juga tidak takut sekiranya diugut untuk melaporkan kepada pihak berkuasa.

“Bukan itu sahaja, penghendap patologikal tidak akan berhenti berusaha mencari maklumat mangsa sama ada dengan cara mengekori, menjadi orang pertama yang memberi respons kepada setiap hantaran di media sosial,” katanya.

Menurut Ahmad Rostam, golongan tersebut juga tidak peduli dengan apa jua halangan asalkan mereka boleh kekal berhubung dengan mangsa walaupun tiada balasan.

“Stalker belum tentu lagi mempunyai masalah mental, namun ia boleh menyebabkan mang­sa tertekan disebabkan gangguan berterusan dalam tempoh lama. Selain itu mangsa boleh

mengalami kemurungan, trauma dan stres yang kronik,” jelas beliau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN