fbpx

Verstappen pamer dominasi di GP Hungary

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pelumba Red Bull, Max Verstappen terus cemerlang apabila meraih kemenangan kesembilan musim ini selepas memenangi Grand Prix (GP) Hungary di Litar Hungaroring sebentar tadi.

BUDAPEST – Pelumba Red Bull, Max Verstappen meneruskan penguasaan dalam saingan Formula Satu (F1) musim ini selepas mudah memenangi perlumbaan Grand Prix (GP) Hungary di Litar Hungaroring sebentar tadi.

Memulakan perlumbaan di petak kedua, dia yang juga juara dunia tidak menunggu lama apabila memintas pelumba Mercedes AMG, Lewis Hamilton seawal pusingan pertama sebelum menguasai sepenuhnya perlumbaan itu.

Meskipun cuba dicabar pelumba-pelumba lain termasuk pelumba McLaren, Lando Norris, namun Verstappen tetap tenang memandangkan dia memimpin perlumbaan dengan jurang masa yang cukup besar.

“Akhirnya kami dapat bermula baik dan sangat gembira untuk memimpin perlumbaan di awal saingan. Kami agak bergelut sepanjang minggu ini tetapi hari ini jentera tampilkan prestasi terbaik dan saya hanya perlu jaga tayar.

“Kemenangan ke-12 berturut-turut untuk pasukan adalah perkara yang menakjubkan. Sudah tentu kami akan pastikan prestasi begini dapat diteruskan menjelang perlumbaan seterusnya,” katanya sejurus tamat perlumbaan.

Mengiringi Verstappen di podium adalah Norris yang menamatkan perlumbaan di kedudukan kedua manakala tempat ketiga menjadi milik seorang lagi pelumba Red Bull, Sergio Perez.

Untuk rekod, pelumba berusia 26 tahun itu sukar untuk ditewaskan sepanjang saingan musim ini apabila memenangi sembilan daripada 11 perlumbaan yang sudah berlangsung setakat ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI