fbpx

Puspal serahkan garis panduan baharu konsert ke KKD minggu depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fahmi (empat kiri) bergambar bersama ketua-ketua komuniti pada Majlis Penyerahan Watikah Komuniti Madani Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di Dewan Eco Park, Kuala Lumpur, hari ini. Foto oleh FARIZ RUSADIO / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) akan menyerahkan satu garis panduan baharu berkaitan penganjuran konsert antarabangsa kepada Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) pada minggu hadapan.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, beliau telah mengarahkan Puspal untuk kemukakan penambahbaikan atau pembetulan yang perlu difokuskan dalam penghasilan garis panduan berkaitan konsert artis luar negara.

“Kebanyakan daripada garis panduan yang telah ditetapkan Puspal adalah jelas dan dalam insiden seperti ini kita lihat berlaku keadaan yang sangat keterlanjuran, sangat biadab akhirnya kita telah ambil tindakan seperti diumumkan hari ini.

“Untuk pastikan ia tidak berulang, saya telah mengarahkan supaya Puspal memberi kepada saya minggu hadapan senarai penambahbaikan atau pun pembetulan atau garis panduan yang perlu dibuat, sama ada sebarang tatacara permohonan dan juga proses memastikan tidak berulang masalah seperti ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Watikah Komuniti Madani peringkat Wilayah Persekutan (WP) Kuala Lumpur dan Putrajaya di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai tindakan biadap dilakukan oleh vokalis The 1975, Matty Healy yang mencium gitaris kumpulannya, Ross Macdonald di atas pentas pada festival muzik Good Vibes semalam, Fahmi berkata, Jawatankuasa Puspal telah menyenarai hitam kumpulan rock Britain itu daripada membuat sebarang persembahan di negara ini.

“Jawatankuasa Puspal akan menyediakan draf terbaharu untuk KKD pertimbangkan bagi mengelak insiden tersebut tidak berulang termasuklah bagi memastikan konsert Coldplay yang dijadualkan November depan tidak berlaku seperti insiden teruk semalam,” jelasnya.

Menurut Fahmi, penyertaan The 1975 diluluskan secara saat akhir sebelum dibenarkan membuat persembahan pada konsert tersebut.

“Saya dijemput pihak Puspal untuk memberi taklimat apa yang berlaku. Pada bulan Jun yang lalu Puspal memaklumkan mereka pada waktu itu tidak menerima penyertaan The 1975 untuk buat persembahan pada konsert The Good Vibes.

“Tetapi pihak penganjur buat rayuan pada pertengahan Julai dan dalam surat rayuan mereka turut sertakan surat akur janji daripada pengurus kumpulan The 1975 yang menyatakan mereka akan bertanggungjawab sepenuhnya iaitu pengurs dan penganjur terhadap persembahan tersebut,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI