fbpx

Gandakan usaha kuatkan ATM – Agong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Al-Sultan Abdullah (dua kiri) berkenan menyampaikan Anugerah Pegawai Kadet Terbaik Keseluruhan pada Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Tauliah Pegawai Kadet ATM Tahun 2023 di Kem Perdana Sungai Besi hari ini. - Foto oleh FARIZ RUSADIO / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah kerajaan perlu melipatgandakan usaha untuk terus memperkasa dan memodenkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Baginda selaku Pemerintah Tertinggi ATM bertitah, usaha tersebut perlu dilaksanakan kerana dunia ketika ini sedang menyaksikan pertembungan antara kuasa-kuasa besar tradisional dengan kemunculan kuasa-kuasa baharu.

“Semua ini menuntut kepada pembentukan ATM yang boleh dipercayai, berteknologi tinggi dan berupaya untuk diadaptasi bagi menghadapi pelbagai bentuk ancaman.

“Tidak dilupakan keamanan yang dikecapi selama ini juga adalah hasil daripada perjuangan perwira dan srikandi ATM yang telah meninggal dunia.

“Marilah, kita berdoa semoga Allah SWT menghamparkan buat mereka (anggota ATM) dengan syurga Illiyin dan para keluarga mereka dikurniakan kesejahteraan di dunia dan di akhirat,” titah Yang di-Pertuan Agong ketika menyempurnakan Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet ATM tahun 2023 di Kem Perdana Sungai Besi hari ini.

Turut berkenan berangkat pada istiadat hari ini ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Dalam majlis tersebut, seramai 228 pegawai kadet ditauliahkan hari ini terdiri daripada mereka yang menamatkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Jumlah itu melibatkan 136 Pegawai Kadet Tentera Darat Malaysia dan masing-masing 46 Pegawai Kadet dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Mereka berjaya menamatkan program ijazah dalam jurusan masing-masing selama tiga hingga empat tahun dan mengikuti Latihan Ketenteraan Tahun Akhir (LKTA) selama enam bulan di kolej perkhidmatan, yang tamat pada 30 April lepas sebelum layak ditauliahkan sebagai Pegawai Muda ATM dengan pangkat Leftenan Muda.

Majlis tersebut juga turut menyaksikan Leftenan Muda Mohamad Norizzaini Norizam dinobatkan sebagai Pegawai Kadet Terbaik Keseluruhan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI