fbpx

Elak bahaya caci, fitnah menjelang pilihan raya – Sultan Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyeru umat Islam menekankan bahaya perbuatan mengumpat, mencela, mencaci dan memfitnah terutama menjelang musim pilihan raya.

Baginda meminta semua pihak memahami dan menghayati intipati Khutbah Jumaat bertajuk ‘Dosa Mengumpat dan Mencaci’ yang dibacakan khatib di masjid seluruh negeri ini hari ini.

Titah Sultan Sharafuddin, segala perbuatan dan tingkah laku seumpama itu bukan hanya menjatuhkan maruah diri malah mengundang sengketa dan permusuhan berpanjangan hingga menjejaskan keharmonian hidup bermasyarakat.

“Baginda sebelum ini sering kali menasihati umat Islam tidak terjerumus dalam perbuatan terkutuk dan tercela ini. Baginda bimbang jika amalan memfitnah serta caci-mencaci ini tidak dibendung, perpecahan umat Islam khususnya di Selangor akan menjadi semakin parah dan tidak terkawal,” titah baginda menerusi Facebook Selangor Royal Office petang tadi.

Sultan Sharafuddin menegaskan, perbuatan fitnah dan mencaci menjadi lebih ketara dan dilakukan tanpa rasa takut dan malu kepada Allah setiap kali menjelang pilihan raya.

“Ia seolah-olah musim menjelang pilihanraya adalah pesta menghalalkan mencaci maki, mengumpat dan memfitnah antara satu sama lain demi meraih sokongan dan undi rakyat.

“Baginda juga pernah berpesan ketika pembubaran Dewan Negeri Selangor pada 19 Jun lalu bahawa isu berkaitan kaum, agama dan Institusi diraja tidak seharusnya diheret bagi dijadikan bahan berkempen,” titah baginda.

Jelas baginda, perkara itu perlu supaya perbalahan dan pertelingkahan dalam kalangan umat Islam tidak berlaku dan hubungan antara kaum di negara ini tidak terjejas.

“Islam amat mengutamakan keharmonian hidup bermasyarakat dan menekankan sentiasa berbaik sesama umat Islam dan bertoleransi dengan orang bukan Islam mengikut lunas, batas dan akhlak Islam.

“Perlembagaan Persekutuan telah menjamin Islam sebagai agama Persekutuan dan ianya akan tetap terpahat dan tidak boleh digugat oleh mana-mana pihak,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah, Raja dan Sultan pula berperanan sebagai Ketua Agama bagi negeri dan mesti dihormati dan ditaati sama ada suka atau sebaliknya selagi patuh kepada perintah Allah serta tidak menyuruh melakukan maksiat.

“Sultan adalah payung yang melindungi sekalian rakyat jelata di bawah naungannya.

“Ini berdasarkan hadis nabi dan undang-undang negara kita juga memperuntukkan kesalahan bagi mereka yang melakukan fitnah, penghinaan kepada Institusi raja serta mencetuskan perbalahan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini seperti Akta Hasutan, Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia,” titah baginda.

Justeru, baginda mengingatkan umat Islam berhati- hati dalam apa yang diperkatakan dan jangan sampai menjadi bak kata Pepatah Melayu, ‘terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya’.

“Sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri, semua calon dan penyokong diingatkan bahawa tempoh berkempen bukanlah lesen untuk mengumpat, mencela, mencerca, menghina dan memfitnah orang lain dengan sebebasnya.

“Ingatlah hukum Allah akan tetap berjalan dalam keadaan apapun dan tiada sebab yang boleh menghalalkannya,” titah baginda. – KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI