fbpx

Rakyat digesa jauhi sifat ekstremis, tabur fahaman perpecahan – Fadillah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fadillah

PUTRAJAYA – Setiap rakyat Malaysia digesa menjauhi sifat ekstremis yang menabur fahaman perpecahan serta menyemarakkan api perkauman sehingga boleh mencetuskan suasana tidak harmoni dalam negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, titah Yang di-Pertuan Agong agar nilai perpaduan dijadikan aset negara demi menjamin masa depan harus dihayati semua rakyat.

Katanya, ini termasuk mengurangkan jurang perbezaan antara rakyat negara ini dan rumah dijadikan asas permulaan amalan perpaduan.

Pengerusi Majlis Penasihat Perpaduan Negara (MPPN) itu berkata, titah Baginda mengenai tiga perkara utama ini meletakkan perpaduan sebagai perkara asas dan perlu diberi tumpuan khusus.

“Sehubungan itu, adalah menjadi tanggungjawab bersama ahli-ahli MPPN memikirkan usaha-usaha yang perlu dilaksanakan sejajar dengan kerangka perpaduan baharu dibangunkan Kementerian Perpaduan Negara berkonsepkan Perpaduan Dalam Kepelbagaian bagi merealisasikan aspirasi Malaysia Madani,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Perkara itu antara dibincangkan menerusi Mesyuarat MPPN kali pertama hari ini yang ditubuhkan sebagai usaha bagi menasihati kerajaan dalam hal ehwal perpaduan serta membincangkan isu-isu perpaduan dan usaha-usaha penyatuan nasional dari pelbagai sudut.

Ini termasuk mencadangkan kaedah penyelesaian terbaik kepada kerajaan untuk memastikan perpaduan negara terus dipelihara agar masyarakat negara ini dapat menikmati kehidupan aman, sejahtera dan harmoni.

Pada masa sama, MPPN turut membincangkan dan berkongsi mengenai hasil kajian Indeks Perpaduan Nasional (IPNas), Kerangka Perpaduan Malaysia Madani dan cadangan pemerkasaan Kawasan Rukun Tetangga (KRT).

Selain itu, cadangan pelaksanaan lafaz penuh ikrar Rukun Negara dalam majlis-majlis rasmi kerajaan, sekolah-sekolah serta institut pengajian tinggi seluruh negara.

“Mesyuarat ini juga mendapatkan maklum balas daripada ahli-ahli MPPN mengenai usaha dan inisiatif baharu yang telah dilaksanakan dalam memperkasa agenda perpaduan nasional.

“Ia turut memfokuskan kepada pelaporan mengenai pelaksanaan program-program yang sedang dan akan dilaksanakan Kementerian di bawah flagship Kembara Perpaduan merangkumi tiga kluster utama iaitu Semarak Kenegaraan, Semarak Perpaduan dan Program Komuniti Rahmah,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI