fbpx

PRN: Pendorong, perancang khianat kain rentang, bendera parti boleh ditangkap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan. - FOTO MOHD SHAHJEHAN MAAMIN

KOTA BHARU – Pendorong dan perancang di sebalik tabir perbuatan mengkhianat kain rentang dan bendera parti politik juga boleh ditangkap jika didapati terlibat dengan kesalahan tersebut menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, selain pelaku, semua yang berkaitan dalam kes khianat itu akan menerima padah dan polis akan pastikan siasatan dilakukan sehingga ke akar umbi.

Menurutnya, perbuatan khianat itu merujuk kepada tindakan mencabut, menjatuhkan bendera parti dan merosakkan kain rentang.

“Bukan sahaja pelaku, pendorong dan perancang di sebalik tabir perbuatan itu turut akan ditahan.

“Bermula 15 Julai lalu sehingga semalam, kita menerima dua laporan berhubung perbuatan mengkhianat kain rentang dan bendera parti di daerah Tumpat dan Kuala Krai.

“Selain itu, polis turut mengesan empat lagi kejadian sama berlaku di daerah ini. Siasatan secara terperinci akan dilaksanakan berdasarkan laporan polis yang telah dibuat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhamad Zaki memberitahu, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk menangkap individu yang tidak bertanggungjawab melakukan perbuatan tersebut.

Katanya, polis Kelantan memandang serius perkara tersebut malah sudah mengerakkan hampir kesemua ‘pasukan cantas’ dan pasukan lain di bawah Ketua Polis Daerah dalam usaha mengesan atau menangkap pihak yang dipercayai terlibat.

“Semua ketua-ketua parti, presiden pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau pengerusi pertubuhan khususnya di Kelantan dinasihatkan supaya menjaga, mengawasi ahli dan pengikut masing-masing supaya tidak merosakkan keharmonian, keamanan serta merencatkan proses pilihan raya pada kali ini.

“Pelaksanaan proses berkempen perlu dilakukan secara sihat, harmoni, mematuhi peraturan, undang-undang dan garis panduan yang telah ditetapkan,” ujarnya.

Muhamad Zaki berkata, kes khianat kain rentang dan bendera parti akan disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI