fbpx

Lakukan hijrah hakiki – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar.

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru agar semua pihak bertekad melakukan penghijrahan hakiki menjelang sambutan Tahun Baharu Hijrah 1445 kali ini.

Menerusi satu perutusan hari ini, beliau turut mengimbau sejarah penghijrahan Rasulullah yang mendirikan kota Madinah yang meletakkan asas sistem pemerintahan Islam dengan pengajaran dan kefahaman mengenai soal akhlak, nilai dan prinsip.

“Daripada didikan kerohanian ini terbitnya dasar kenegaraan yang mencerminkan sikap rahmah dan adil buat semua.

“Walhasil, penghijrahan Rasul membenam faham perkauman. Pakatan para Muhajirin bersama Ansar dan sebelumnya bersama Raja Ashamah iaitu pemerintah negeri Habsyah mencerminkan semangat kerjasama dalam perkara makruf.

“Kota Madinah dilatari kepelbagaian agama, budaya dan bangsa kemudiannya didirikan atas nama umat yang satu, demikianlah hijrah Rasul dan para sahabat menjadi ibrah segar sepanjang zaman,” jelasnya.

Tambah Anwar, adapun Malaysia pada hari ini, maka sayugialah dipertahankan bumi bertuah ini daripada anasir perkauman yang memecah-belah.

“Keamanan dan kestabilan kini maqasid utama kita agar kebajikan rakyat terbela. Sementara sebarang usaha untuk merubah negara yang berperlembagaan dan berdaulat ini kepada negara perkauman yang huru-hara, walau seinci pun tidak sesekali akan dibiarkan.

“Justeru, menjelang sambutan Hijrah 1445 ini, marilah kita bertekad untuk melakukan hijrah yang hakiki.

“Berhijrah dari kemungkaran kepada kebaikan, dari kebejatan rasuah kepada amanah dari ketaksuban kepada minda yang merdeka dan dari perkauman sempit kepada taayush silmi (hidup bermuafakat).

“Selamat menyambut Tahun Baru hijrah buat seluruh umat Islam di Malaysia,” ucapnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI