fbpx

Dua polis Sabah cedera ditetak lelaki kurang siuman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pasukan polis dalam proses memujuk suspek lelaki yang mengamuk dan mengunci ibunya di dalam bilik dalam kejadian di Taman Jaya Diri, Menggatal semalam.

KOTA KINABALU – Dua polis masing-masing inspektor dan sarjan cedera di kepala, lengan dan bahu kanan akibat ditetak seorang lelaki dipercayai kurang siuman dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Jaya Diri, Manggatal semalam.

Kejadian pada pukul 2.30 petang itu berlaku ketika pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu tersebut melakukan pemeriksaan selepas menerima aduan berkaitan amuk berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd. Zaidi Abdullah berkata, suspek bersenjatakan sebilah pisau pemotong daging bertindak mengurung ibu dan kakaknya di dalam rumah berkenaan.

“Lelaki berkenaan dikatakan turut mengasari kakaknya. Suspek enggan menyerah diri, namun bersetuju untuk membebaskan kakaknya sebelum mengunci diri bersama ibunya di dalam bilik tidur.

“Suspek enggan membebaskan ibunya walaupun sudah dua jam dipujuk. Polis kemudian bertindak memecahkan pintu bilik lalu menyerbu masuk sebelum berjaya menyelamatkan wanita itu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Zaidi berkata, ketika diserbu suspek bertindak agresif dan menetak serta mencederakan seorang inspektor dan sarjan.

“Kedua-dua anggota cedera di lengan, kepala dan bahu kanan manakala suspek berusia 42 tahun hanya cedera ringan di muka manakala ibu suspek tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Zaidi berkata, siasatan mendapati suspek adalah bekas pesakit Hospital Mesra Bukit Padang, Kota Kinabalu.

“Kedua-dua anggota polis yang cedera kini dirawat di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas. Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan cubaan bunuh dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI