SETIAP tahun, rutin bercuti ke luar negara menjadi kemestian buat pemuda itu. Bekerja di sektor swasta, Hakimi (bukan nama sebenar) memberitahu, setiap negara yang dilawati sememangnya memberikan dia kenangan manis.
Namun, terdapat satu negara yang pernah memberikannya pengalaman ngeri.
Menurutnya, perkara itu berlaku semasa dia bercuti bersama rakan-rakan ke Chiang Mai, Thailand sekitar lima tahun lalu.
“Chiang Mai merupakan antara lokasi yang sudah lama saya rancang untuk bercuti kerana tertarik dengan wilayah itu menerusi beberapa rancangan televisyen dan drama Thailand.
“Meskipun begitu, saya mengalami satu pengalaman ngeri ketika menginap di sebuah resort yang ditempah secara dalam talian,” ujar lelaki berasal dari Kuantan, Pahang itu.
Kongsinya lagi, semasa menempah secara dalam talian, dia tertarik dengan konsep resort tersebut yang bercirikan perkampungan tradisional Thailand.
Kisah ngeri bermula sejak hari pertama menjejak kaki di chalet berkenaan.
Hakimi mengakui, dia sudah berasa seram sejuk memandangkan chalet yang terletak berdekatan sebuah perkampungan di pinggir bandar Chiang Mai itu kelihatan suram.
“Semasa proses daftar masuk di kaunter, saya sudah mula merinding melihat hiasan di lobi. Kebanyakannya merupakan patung pakaian tradisional masyarakat Thailand.
“Rasa seram yang dirasakan tidak terhenti di situ. Dia kemudian berasa seram sejuk selepas memasuki chalet yang berada bersebelahan hutan.
Ceritanya lagi, saat memasuki chalet berkenaan, dia sudah rasa lain macam dengan dekorasi bilik dipenuhi patung pakaian tradisional dan topeng etnik Thailand.
Walaupun rasa ada yang tidak kena, namun Hakimi masih mengabaikan perasaannya itu.
Ini kerana dalam fikirannya pada masa itu hanya mahu tidur sebelum keluar untuk meneruskan program bercuti bersama rakan-rakan.
“Semasa sedang tidur, saya merasakan ada orang sedang mengusap rambut saya.
“Saya fikir salah seorang rakan saya datang mengusik tetapi bila saya buka mata, kedua-dua mereka sedang tidur.
“Saya berasa pelik tetapi masih tidak mengendahkan perkara itu dan meneruskan tidur. Semasa sedang melelapkan mata, saya mendengar bunyi pintu almari terbuka.
“Pada ketika itu, perasaan kurang selesa saya semakin kuat,” kongsinya.
Kata Hakimi lagi, dia kemudian mendengar bunyi kanak-kanak berlari di kawasan ruang tamu, sebelum berasa kakinya seperti direntap.
Terkejut dengan perkara itu, Hakimi terus tersentak dan menjerit hingga menyebabkan rakannya terkedu.
Kedua-dua rakannya terus menghampiri dan bertanya perkara yang berlaku.
Hakimi menjelaskan apa yang terjadi, namun ditertawakan oleh rakannya. Mereka mengatakan, dia mungkin bermimpi kerana terlalu penat.
Tidak mahu memanjangkan cerita, Hakimi dan rakannya kemudian bersiap untuk keluar makan serta bersiar-siar di kawasan sekitar.
Kemuncak insiden seram menginap di resort berkenaan berlaku pada sebelah malam semasa Hakimi membuat suntingan video untuk dikongsikan di laman Instagram.
Ujar Hakimi, ketika itu pukul 1 pagi dan dua rakannya yang lain sudah tidur.
“Ketika sedang leka menyunting video, tiba-tiba saya berasa ada orang menghembuskan nafas di telinga. Ketika saya menoleh tiada siapa di sebelah.
“Kemudian, saya melihat ada susuk menyerupai manusia sedang berjalan di ruang tamu. Saya fikir, dia salah seorang rakan saya,” katanya.
Hakimi yang takut cuba mendekati susuk berkenaan. Namun, tidak sangka ia bukan rakannya tetapi satu makhluk menyeramkan dengan muka seakan patung pakaian tradisional Thailand.
Hakimi yang sangat takut cuba melarikan diri, namun terjatuh di ruang tamu.
Dek terlalu takut, dia menjerit sekuat hati sehingga menyebabkan rakannya terbangun.
“Semasa rakan saya ke ruang tamu, mereka juga terpaku melihat makhluk berkenaan.
“Salah seorang daripada mereka kemudian mula melaungkan azan dan membaca ayat Kursi, sebelum makhluk itu hilang.
“Kami kemudian memutuskan untuk keluar dari chalet berkenaan dan mencari hotel lain untuk menginap pada malam itu,” ceritanya.














