ADA yang berkata, untuk berjaya dalam pelajaran perlu ada duit. Dengan duit, segala kemudahan dan keperluan akan mudah diperoleh.
Duit juga boleh membantu untuk menambah ilmu. Hanya perlu mengikuti kelas tuisyen dengan bayaran ratusan ringgit setiap bulan. Paling mudah, upah sahaja guru peribadi untuk datang ke rumah.
Namun, bagi mereka yang serba kekurangan atau dikategorikan sebagai miskin, duit bukanlah alat untuk mendapatkan ilmu.
Bagi golongan ini, duit itu mungkin lebih penting daripada buku rujukan, kelas tuisyen mahupun untuk mengupah guru peribadi.
Malah, mentaliti sesetengah golongan ini melihat duit itu lebih layak digunakan untuk membeli makanan bagi mengisi perut anak-anak setiap hari.
Bagaimanapun, di sisi lain, ada orang miskin yang berfikiran lebih matang. Orang miskin jenis ini melihat ilmu dan pendidikan itu sebagai harta yang cukup bernilai.
Malah, kata mereka, ilmu dan pendidikan itu lebih tinggi darjatnya daripada sekeping wang kertas.
Dengan ilmu, kehidupan mereka boleh berubah. Walaupun perubahan itu tidak dinikmati sekarang, ia mungkin akan berlaku suatu hari nanti.
Tidak ramai yang berfikiran seperti ini. Jumlahnya sangat kecil, tetapi perubahan kepada pemikiran matang itu sentiasa berlaku di pelbagai peringkat dalam masyarakat.
Asas kepada perubahan itu biasanya bermula dari rumah. Lebih tepat lagi peranan ibu bapa yang ingin melihat kejayaan anak-anak mereka.
Kekurangan sumber dan kekangan kewangan bukan lagi alasan untuk anak-anak keluarga miskin ini terus tersisih daripada pendidikan.
Sebenarnya, tiada yang mustahil untuk dilakukan dan keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022 yang diumumkan di seluruh negara kelmarin telah menceritakan segala-galanya.
Banyak pengajaran yang berlaku dan paling penting, STPM 2022 menjadi penanda aras kepada kejayaan cemerlang calon-calon daripada latar belakang keluarga yang serba kekurangan.
Buktinya, daripada 1,184 calon yang memperoleh keputusan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00, 85.22 peratus atau 1,009 calon adalah mereka yang berasal dari keluarga B40.
Apa itu B40? B40 adalah golongan sasaran yang wajib dibantu dalam sesebuah negara.
Maksudnya, B40 ini tidak mempunyai kemampuan dari segi kewangan dan dikelaskan kepada beberapa kategori dengan pendapatan isi rumah di bawah RM4,850.
Hakikatnya, 1,009 calon yang berjaya ini datangnya daripada keluarga susah dan berpendapatan rendah.
Namun, apa yang membezakan mereka dengan anak-anak orang miskin yang lain adalah semangat luar biasa untuk menjadi manusia yang bijak dan bekerja keras.
Persoalannya, siapakah manusia-manusia bijak ini?
Mereka sebenarnya adalah anak-anak kepada seorang pengawal keselamatan, penoreh getah, buruh kampung dan si penjual sate.














