fbpx

Fadhlina bangga pakai baju kurung hasil pelajar TVET

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara koleksi baju kurung Fadhlina hasil rekaan pelajar TVET.

PETALING JAYA – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berbangga memakai busana Melayu hasil rekaan pelajar-pelajar Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Fadhlina menerusi hantaran di Facebooknya berkata, kebanyakan baju kurung dipakainya adalah hasil rekaan dan jahitan para pelajar yang sememangnya mempunyai bakat yang hebat dalam ilmu fesyen dan jahitan.

“Bagi ramai yang tertanya-tanya dari mana saya beli baju-baju saya, saya kenalkan busana yang saya pakai ini adalah hasil rekaan pelajar Nadhratul Iman dan dijahit oleh pelajar Nurul Najwa.

“Kedua-dua mereka sedang mengikuti pengajian Diploma Seni Reka Fesyen di Kolej Vokasional Sungai Petani.

“Saya berasa sangat berpuas hati dengan corak dan kain yang digunakan serta kemasan potongan dan jahitan yang selesa dipakai,” katanya.

Tambah Fadhlina, beliau yakin potensi yang ada dalam pelajar-pelajar TVET ini mampu dikembangkan ke peringkat antarabangsa.

“Ini adalah contoh hasil tangan pelajar yang kita gilap dan kembangkan potensi mereka di institusi-institusi pendidikan KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia).

“Saya yakin dengan keupayaan sebegini pada usia yang sangat muda, mereka boleh menyinar lebih cemerlang dalam industri fesyen muslimah sama ada di dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa,” ujarnya.

Jelasnya, kementeriannya sentiasa memberikan ruang dan peluang untuk para pelajar mengembangkan bakat mereka.

“Saya sangat menggalakkan untuk mereka meningkatkan daya cipta yang memberi manfaat kepda kemanusiaan sejagat.

“Saya sentiasa berbangga dengan setiap kejayaan yang dicapai oleh para pelajar biarpun kecil kerana dari pencapaian-pencapaian kecil ini mereka akan membina semangat, kemahiran, ilmu dan pengalaman untuk menggapai kegemilangan dalam hidup mereka pada masa hadapan.

“Saya berharap ibu, bapa, masyarakat dan seluruh ekosistem pendidikan dapat sama-sama berperanan supaya kita mampu untuk memastikan anak-anak kita mengembangkan potensi dan bakat mereka, seterusnya menjadi seorang yang berjaya,” pesannya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

RSS Error: A feed could not be found at `https://www.relevan.com.my/feed`; the status code is `404` and content-type is `text/html; charset=iso-8859-1`