fbpx

Syamsul Yusof tarik balik saman terhadap Jawi, MAIWP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Syamsul Yusof.

KUALA LUMPUR – Pengarah filem, Syamsul Yusof, hari ini menarik balik saman difailkan terhadap dua pegawai kanan Jabatan Agama Islam (Jawi) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Mahkamah Tinggi, di sini.

Perkara itu disahkan peguam Syamsul, Azahir Nasir, ketika dihubungi media selepas pengurusan kes itu secara dalam talian di hadapan Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd. Salleh.

Sebelum ini dilaporkan kes saman itu, dijangka akan diselesaikan bulan ini.

Syamsul atau nama sebenarnya Mohd. Shamsul Md. Yusof , 39, memfailkan saman itu pada 28 Mac lalu dengan menamakan Pegawai Hal Ehwal Islam, Bahagian Penguatkuasaan Jawi, Mohd. Haris Abdllah, Pengarah Jawi, Datuk Mohd. Ajib Ismail dan MAIWP selaku defendan pertama hingga ketiga.

Menurut penyataan tuntutannya, Syamsul mendakwa pada 20 Disember 2022, ibunya Datin Patimah Ismail telah menyerahkannya sekeping gambar melalui WhatsApp antara lainnya memaparkan nama isterinya, Faghira Fatini, no kad pengenalan wanita itu, sebahagian tandatangan Ira dan sebahagian keterangan yang diberikan Ira sewaktu dipanggil oleh Jawi.

Syamsul mendakwa keterangan itu menggambarkan bahawa dia dan Ira telah menjalinkan hubungan sulit di antara 2019 dan 2021.

Ira bagaimanapun menafikan dia telah memberikan keterangan sedemikian ketika dipanggil untuk siasatan berkaitan gangguan orang ketiga yang difailkan oleh bekas madunya, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin.

Satu laporan polis berhubung penyebaran keterangan berbaur fitnah itu turut dibuat Ira pada 23 Disember 2022.

Sehubungan itu, pengarah filem Mat Kilau itu mendakwa, beliau telah dimarahi ibunya sehingga mengeluarkan kata-kata yang mengguris perasaannya dan turut mengakibatkan Syamsul mengalami tekanan perasaan.

Syamsul juga mendakwa penyebaran itu dilakukan bagi memalukan, mengaibkan dirinya dan berniat jahat.

Oleh itu, Syamsul memohon deklarasi bahawa kenyataan yang disebarkan itu tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi 1972 dan kesemua defendan telah merakam dan menyebarkan keterangan itu.

Sebelum ini kemelut rumah tangga Syamsul dan Puteri Sarah mula diperkatakan sejak empat tahun lalu, tetapi anak kepada Datuk Yusof Haslam itu tidak pernah membuka mulut mengenai perkara itu.

Pada 6 Januari lalu, Syamsul akhirnya mengotakan janji untuk ‘meletak titik noktah’ pada teka-teki perhubungannya dengan Ira, apabila mengakui sudah menikahi wanita itu di Thailand.

Pada 14 Jun lalu, Syamsul menceraikan isteri pertamanya, Puteri Sarah dengan talak satu buat kali kedua, di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, di sini.

Untuk rekod, Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI