KOSA kata peribahasa sikit-sikit lama-lama jadi bukit jelas membawa maksud sabar dalam mengerjakan sesuatu kerana lama-lama ia berhasil juga.
Bagaimanapun, sesuatu hasil tersebut jangan pula dihabiskan dalam tempoh yang singkat.
Yang dibimbangi pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang gelap mata selepas melihat duit ratusan ribu dalam simpanan.
Baru-baru ini, KWSP bercadang untuk melaksanakan pengeluaran secara berkala atau bulanan apabila mencecah usia persaraan 55 tahun yang ketika ini adalah secara sukarela kepada mandatori bagi ahli baharu pada masa depan.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dilaporkan berkata, pengeluaran secara berkala itu dilihat mampu memberi peluang kepada ahlinya menguruskan wang persaraan dengan lebih baik.
Bagaimanapun, cadangan ini menimbulkan pelbagai reaksi.
Pensyarah Kanan Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Mohammad Noorizuddin Nooh berpendapat bahawa rata-rata masyarakat di negara ini masih belum lagi mencapai tahap celik perancangan kewangan.
“Perkara inilah yang dirisaukan oleh kebanyakan orang, fenomena ‘merempat selepas persaraan’ yang disebabkan kurang peka terhadap aspek perancangan kewangan.
“Dari satu aspek pengeluaran berkala adalah salah satu langkah yang baik, namun purata caruman masyarakat Malaysia adalah terlalu rendah untuk kita mencapai matlamat keselesaan kewangan selepas persaraan,” katanya.
Noorizuddin berkata, langkah ini juga dilihat boleh mengelakkan pencarum boros berbelanja dan mengelakkan mereka jatuh muflis jika penggunaan wang pencen tidak dikawal.
Ujarnya, boros adalah satu sikap yang boleh diubah dengan latihan berterusan dan perlu dimulakan lebih awal.
“Memang satu usaha yang leceh dan berterusan, namun tanggungjawab mendidik mengenai perancangan kewangan perlu diambil oleh pihak kerajaan dan institusi kewangan secara kolektif,” katanya.
Dalam pada itu, Pakar Ekonomi, Prof. Madya Dr. Ahmad Fadhly Arham menambah, purata jangka hayat lelaki di Malaysia pada 2021 ialah 70 tahun dan bagi wanita ialah 75 tahun.
Ujarnya, pengeluaran berkala adalah salah satu strategi yang baik bagi memastikan pencarum akan kekal mendapat pendapatan bulanan selepas pencen.
Bagaimanapun, banyak perkara yang perlu dilihat dengan lebih teliti seperti jumlah simpanan pencarum dan tempoh masa simpanan pencarum.
“Pendapat saya, initiatif ini perlulah dijadikan sebagai pilihan pencarum, bukan mandatori. Ia perlukan kajian yang lebih mendalam dengan melihat model-model persaraan yang telah dijalankan di luar negara.
“Sebab nilai bersesuaian ini perlu dilihat dari sudut tempoh simpanan dan jumlah simpanan. Faktor purata jangka hayat juga adalah faktor utama dalam penentuan jumlah yang boleh dibenarkan bagi pengeluaran secara berkala ini,” katanya.
Berdasarkan statistik KWSP, sehingga Mac 2023, pihaknya merekodkan pendaftaran ahli baharu sebanyak 116,423, menjadikan jumlah ahli KWSP seramai 15.8 juta.
Daripada jumlah itu, seramai 8.45 juta adalah ahli aktif, yang kini mewakili 50 peratus daripada 16.81 juta tenaga buruh negara.














