PADA usia 56 tahun, figura bernama Datuk Rosyam Nor pada asasnya tidak perlu lagi bekerja keras untuk mengekalkan relevansinya dalam dunia seni tanah air.
Itulah persepsi mudah khalayak terhadap dirinya. Disangka selesa dengan kedudukan sekarang, hakikatnya, perasaan berbeza dirasai Rosyam.
Dengan puluhan filem dan ratusan naskhah televisyen, Rosyam masih perlu membuktikan kemampuannya sebagai pelakon kepada peminatnya.
Masih dahagakan karya yang boleh menyerlahkan sisi versatiliti. Itu peluang yang dicarinya sehingga hari ini walaupun sudah lebih tiga dekad namanya terpahat sebagai pelakon serba boleh.
Membuktikan keghairahan ke arah itu tidak hanya melalui kata-kata, pembuktian iltizam tersebut direalisasi menerusi satu penghayatan watak dalam naskhah televisyen terbaharu bertajuk Jack Yusof.
Jack Yusof sebuah persembahan yang kontra dengan karakter sinonim dan lagak seorang Rosyam Nor selama ini.
Selain mahukan kepuasan menjadi aktor versatil, lelaki itu masih tercari-cari watak yang boleh mengatasi jenama Castello dalam Gerak Khas The Movie dan Tailong (KL Gangster) yang melekat pada dirinya sejak berbelas tahun lalu.
Bukan ingin lari daripada watak ikonik tersebut, Rosyam sekadar mahu memberi sesuatu yang baharu peminat yang sudah menyokongnya sejak dahulu.

Versatil
“Selama ini orang kenal dan panggil saya Castello, Tailong. Nama itu terlalu melekat dengan saya lebih 15 tahun lalu.
“Jadi saya tertanya, itu sahajakah yang seorang Rosyam Nor boleh beri dan tinggalkan impak kepada peminatnya?” kata empunya nama penuh Mohamed Noor Shamsuddin itu.
Dalam nada serius bersulam jenaka, Rosyam menyambung bicara.
Katanya, biarpun dilihat sudah berada di puncak kehidupan, anak kelahiran Kuala Lumpur itu tidak akan berhenti menggali jiwa lakonan berbeza dalam setiap karya.
“Kalau tanya pelakon lain, semua hendak jadi versatil. Tidak kiralah baharu atau lama, itu jawapan yang akan mereka berikan apabila ditanya mengenai impian sebagai anak seni.
“Sama juga saya, melakonkan karakter yang lari daripada kebiasaan.
“Jadi, apabila ditawarkan watak begini yang orang tak pernah lihat sisi lain saya, memang seronok dan teruja untuk lakukan,” jelasnya.
Biarpun beberapa kali menang trofi Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia, Rosyam tetap memerlukan peminat generasi baharu untuk mewarnai lagi lembaran kerjaya yang sudah bermula sejak 1984.

“Saya berlakon sejak 1984, peminat pada era itu sudah pun berusia lebih 50-an. Jadi, ketika ini saya perlukan peminat generasi baru.
“Jadi, saya nak buktikan kepada mereka yang memang meminati saya menerusi lakonan filem aksi bahawa saya juga mampu bermain dalam genre lain seperti komedi.
“Namun, saya tidak nafikan bahawa watak dalam KL Gangster menaikkan kembali nama saya pada ketika itu dan akhirnya jenama Tailong itu kekal sehingga hari ini,” katanya lagi.
Popular dengan watak romantik seperti menerusi Laila Isabella, Rosyam juga percaya melakonkan watak-watak tidak klise boleh dianggap sebagai hadiah buat peminat.
“Sebagai pelakon, saya sentiasa ingin hidangkan makanan baru kepada peminat supaya mereka sentiasa teruja.
“Kalau boleh, saya ingin lakukan banyak perkara yang berbeza dalam kejaya seni supaya orang tengok kita sebagai serba boleh dan tidak membosankan,” tuturnya.

Jack Yusof
Berkongsi mengenai Jack Yusof terbitan Astro Original, pemilik rumah produksi Suhan Movies teruja kembali menerajui drama bersiri selepas lebih 15 tahun meninggalkan liga tersebut.
“Ini merupakan naskhah terbaik untuk saya serlahkan versatiliti.
“Watak ini buka hati untuk saya kembali ke dunia drama bersiri, selain teruja dapat bergandingan dengan pelakon lain seperti Sharifah Husna, Rashidi Ishak dan Raja Ema,” jelasnya.
Melanjutkan perbualan, bapa kepada lima anak perempuan itu tidak lokek berkongsi ilmu dengan pelakon baharu seperti Sharifah Husna di set penggambaran Jack Yusof.
“Apabila bersama mereka, saya melihat diri saya yang dahulu dengan cara kongsi ilmu kepada mereka.
“Orang nampak suka main-main tetapi hakikatnya saya seorang yang cerewet dan akan tegur secara berdepan jika ada yang tidak kena.
“Bagi saya, menegur pelakon baharu di set adalah lebih bagus, akan wujudkan perasaan malu dan lebih cepat ilmu difahami berbanding cakap belakang yang boleh wujudkan salah faham,” tutupnya.















