fbpx
Gambar hiasan.

Belanja sakan, duit persaraan KWSP RM300,000 ‘licin’ dalam setahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IPOH – Kegagalan mengurus kewangan dengan baik menyebabkan ramai pesara terpaksa menghabiskan usia senja mereka tanpa sebarang simpanan selepas caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang diterima habis digunakan hanya dalam beberapa tahun.

Lebih malang lagi apabila kebanyakan wang simpanan KWSP itu yang berjumlah antara RM300,000 hingga RM500,000 digunakan untuk menyelesaikan hutang tertunggak selain membeli kereta mewah dan tanah selain membina rumah banglo.

Seorang pesara swasta yang juga bekas pekerja syarikat kargo dikenali Ilyas, 68, mengakui, kehidupannya kini semakin tersepit dan terpaksa bergantung kepada wang pemberian bulanan daripada anak-anak.

Katanya, semua itu berlaku selepas wang persaraannya dari KWSP habis digunakan hanya dalam setahun semata-mata untuk membina rumah di kampung halaman serta melunaskan hutang kad kredit.

“Selepas bersara dan mene­rima duit KWSP berjumlah lebih RM300,000, saya buat keputusan untuk berpindah ke kampung halaman di Bagan Datuk.

“Sebelum berpindah, saya telah berbincang dengan ahli keluarga mengenai perkara itu dan mereka bersetuju. Jadi, bermulalah pencarian untuk mencari tanah yang bersesuaian bagi membina kediaman baharu.

“Setelah berjaya menemui lokasi yang sesuai, urusan seterusnya adalah membeli ta­nah berkenaan sebelum mencari kontraktor bagi membina rumah persaraan tersebut,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.

Menurut Ilyas, tanah yang dibelinya di Bagan Datuk berharga sekitar RM160,000, manakala rumahnya pula dibina dengan kos lebih RM180,000.

Katanya, selain membina ru­mah, dia juga menggunakan wang persaraannya untuk melunaskan hutang kad kreditnya yang mencecah ribuan ringgit.

“Saya dan isteri kini bergantung kepada wang pemberian bulanan oleh empat orang anak. Ada yang beri RM200, ada RM300 dan ada beri RM400,” katanya.

Di Kuala Selangor, Selangor, gara-gara terpengaruh dengan pujukan rakan membuatkan seorang pesara membeli kende­raan terpakai menggunakan wang persaraan dari KWSP.

Hassan, 65, berkata, dia membelanjakan lebih RM80,000 bagi membeli kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Mitsubishi secara tunai kerana mahu lebih keselesaan.

Tanpa berselindung, lelaki warga emas itu mengakui menyesal ekoran nilai kenderaan itu semakin susut sejak dibeli lima tahun lalu.

“Kereta lama masih okey, namun disebabkan mahu nampak gah akhirnya memakan diri.

“Wang persaraan yang dulunya mempunyai enam angka kini makin menyusut di sam­ping perlu belanjakan RM200 sebulan untuk membeli ubatan dan supplemen bagi penyakit seperti darah tinggi dan kencing manis,” katanya.

Bagi seorang lagi pesara dikenali Ahmad, 65, duit simpanan KWSP lebih RM100,000 yang diterimanya licin dalam sekelip mata selepas dia me­ngalami kerugian akibat melabur dalam perniagaan logistik bersama seorang rakan.

“Saya terlibat dalam perniaga­an tanpa ada sebarang pengalaman selain kekangan ekoran Pe­rintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.

“Hendak menyesal begitu lama pun tidak guna, dan baki sedikit simpanan saya telah laburkan dalam unit amanah dan Amanah Saham Bumiputera,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN