fbpx

Umpama mimpi, Damasutra teruja gegar Zepp KL Oktober depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DAMASUTRA

Umpama Mimpi Dalam Mimpi, Asyik, Sesat Dalam Rindu, Sufi dan Seribu Bayangan adalah antara dereten lagu yang masih menjadi siulan kumpulan Damasutra sehingga sekarang.

Bersandarkan katalog lagu popular tersebut selain pernah mencetuskan fenomena era 1990-an, Damasutra tampil dengan acara mega, Konsert Anniversari Ke-33 Damasutra – The Journey yang akan berlangsung pada 27 Oktober depan di Zepp Kuala Lumpur.

Selepas lima tahun

Positif masih mempunyai kelompok peminat tersendiri, Baggio yakin masih mampu ‘menjual’ tiket persembahan.

Katanya selaku vokalis, kali terakhir mereka mengadakan persembahan pentas adalah sekitar lima tahun lalu dan itu pun masih berbekas.

“Sebenarnya sejak tahun lalu hasrat merealisasikan konsert semakin kuat terutama dengan ulang tahun ke-33 Damasutra yang jatuh pada 2023.

“Melihat angka ‘cantik’ itu, apatah lagi, kami menempuh pelbagai cabaran memperkukuhkan Damasutra sudah tentu konsert mega menjadi jawapan untuk meraikan ulang tahun band.

“Idea dicetuskan pengurus dan anggota lain yang melihat angka 33 sebagai simbol kematangan dan bukti Damasutra tetap relevan,” katanya pada sidang media konsert berkenaan baru-baru ini.

Selain Baggio, tunjang utama kumpulan yang ditubuhkan sejak 1990 itu adalah Amran yang juga pengasas merangkap gitaris dan pemain dram, Assu.

Seleksi lagu popular

Sebagai pelengkap, pemain gitar berpengalaman luas, Rizal Wahab akan menggantikan posisi Allahyarham Alok yang menghembuskan nafas terakhir akibat serangan jantung, empat tahun lalu.

Damasutra bakal tampil dengan Konsert Anniversari Ke-33 Damasutra – The Journey yang akan berlangsung pada 27 Oktober depan di Zepp Kuala Lumpur.

Persembahan berdurasi dua jam bakal diisi dengan rangkaian lagu hit Damasutra yang dipetik daripada empat album studio iaitu Antara Sutra Dan Bulan yang diterbitkan pada 1990, Asyik (1991), Kurnia (1993) dan Penawar (1996).

Memilih gelanggang gah Zepp Kuala Lumpur sebagai lokasi, Baggio mendedahkan dua kumpulan diundang merancakkan momen bersejarah tersebut iaitu Kristal dan band muda, Rock Ages.

Menurut penyanyi yang turut aktif di arena lakonan itu, peminat yang membesar dengan dendangan Damasutra diharap dapat berhimpun beramai-ramai sekali gus mencipta sejarah manis bersama.

Bermakna, tidak ‘pecah’

“Kali terakhir kami beraksi ‘live’ bersama adalah di Hard Rock Cafe Melaka pada 2017, disusuli persembahan malam tahun baharu yang membuatkan kami teruja untuk tampil beraksi Oktober depan.

“Sudah tentu konsert di Zepp Kuala Lumpur nanti cukup bermakna buat Damasutra.

“Tidak kisahlah orang cakap sebelum ini, masing-masing pernah fokus dengan kerjaya solo, namun band tetap hidup,” katanya.

Tegas Baggio lagi, Damasutra tidak pernah berpecah dan masih kekal sebagai satu kumpulan sehingga hari ini.

“Kami bukan berpecah dahulu, sebaliknya berehat seketika bagi memberi tumpuan terhadap projek solo.

“Namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kami mula menerima undangan persembahan dan terbabit dalam projek amal,” kongsinya.

Harga tiket konsert anjuran Ultimate media itu bermula serendah RM180 dan boleh didapati menerusi laman web www.ubertickets.my.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI