fbpx

Buku masih relevan di sebalik ledakan media sosial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Murid-murid membaca buku dalam "mobile library" pada Karnival Perpaduan Madani 2023 sempena Sekolah Kebangsaan Kanchong Darat dipilih sebagai "Top 10 World's Best School Prizes" di Sekolah Kebangsaan Kanchong Darat, Banting. - AFIQ RAZALI

Dakwaan minat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia makin merudum membuatkan penulis tertanya-tanya, sejauh manakah kebenarannya?

Memang benar penggunaan media sosial mencatatkan pe­ningkatan jumlah ‘pembacanya’, namun kandungannya amat berbeza dengan apa yang terkan­dung dalam sesebuah buku.

Lihat sahaja jika ada penganjuran pesta atau jualan murah buku, pasti ia dipenuhi dengan pencinta buku fizikal yang hadir dari setiap pelosok negeri.

Ia boleh dibuktikan dengan penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) baru-baru ini yang mencatatkan kehadiran pengunjung luar biasa.

Penulis sendiri terpaksa berhimpit bagi menelusuri setiap lorong pempamer bagi mendapatkan buku yang diinginkan.

Ada yang mendakwa, yang meramaikan adalah mereka yang ingin ‘menikmati’ suasana semata-mata, namun telahan itu tidak tepat kerana di kebanyakan sudut dipenuhi dengan mereka yang membelek buku atau beratur untuk membuat bayaran.

Tidak kira pula pengunjung keluar masuk penuh buku di tangan, menjinjing plastik berisi buku, malah ada membawa troli serta bagasi besar untuk diisi buku dibeli.

Namun dalam masa sama, penulis turut mempersoalkan jika peminat buku sebegini ramai jumlahnya, mengapa masih ba­nyak kedai-kedai buku yang tutup satu persatu?

Pertanyaan penulis akhirnya terjawab apabila berkesempatan bertentang mata dengan penulis buku terkemuka negara, Sri Diah Shaharuddin di Shah Alam, baru-baru ini.

Beliau yang mempunyai pe­ngalaman lebih tiga dekad dalam industri penerbitan secara tegas menyanggah dakwaan industri buku negara semakin merundum dan kononnya rakyat Malaysia sudah hilang minat membaca.

Katanya, kesedaran membaca rakyat Malaysia juga me­ningkat, malah kesedaran penerbit untuk hasilkan buku-buku yang bagus juga makin jelas.

“Industri buku masih hidup dan banyak bukti yang menunjukkan kini industri ini masih berkembang.

“Kita nafikan bahawa dunia buku dah jatuh merundum sebab banyak dapatan yang kita tengok dari segi jualan, kempen, pembelian, kunjungan orang ramai di PBAKL, membuktikan dunia buku ni makin menarik untuk dinikmati.

“Walaupun munculnya e-buku, tetapi kelompok ini biasa­nya masih memilih buku fizikal untuk dibaca kerana berasa lebih puas apabila dapat pegang dan ‘belek’,” katanya.

Jelasnya, peminat buku masih ramai serta bertambah, namun pihak penulis dan penerbit perlu bersedia membuat perubahan selaras dangan perkembangan teknologi media sosial.

Seperti industri lain, contoh­nya industri makanan dan pakaian katanya, ramai yang beralih kepada corak perniagaan dan pemasaran dengan memanfaatkan teknologi bagi memenuhi selera permintaan semasa.

“Itu kita kena bersedia. Ba­nyak kita dengar kedai buku besar terkemuka tutup sebab kos operasi dan sewa tinggi.

“Sebenarnya mereka buka tempat lain dengan konsep lebih sesuai dengan permintaan kini contohnya yang berkonsepkan kafe dan perniagaan atas talian.

“Industri buku terutamanya kepada penulis memang boleh buat duit sebagai pendapatan pasif.

“Cuma seiring zaman, penulis kena ‘keluar’ dan berinteraksi dengan masyarakat, terutama­nya pembaca,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI