fbpx

Belanjawan 2023 penuhi keperluan belia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Belia turut terkesan dengan tekanan kos sara hidup semasa yang semakin meningkat. – Gambar hiasan

PETALING JAYA – Golongan belia dilihat sebagai antara komponen terpenting dalam pembentukan asas konsep Malaysia Madani yang menekankan kepada pemerkasaan ekonomi dan budaya berteraskan nilai, etika serta akhlak.

Ketika pembabitan dan sumbangan mereka amat ditagih dalam memacu pembangunan negara, belia Malaysia perlu memiliki matlamat jelas, mengubah cara berfikir dan membentuk diri menjadi modal insan kelas pertama.

Ini kerana, kerajaan menerusi Belanjawan 2023 dengan peruntukan terbesar sebanyak RM388.1 bilion telah menyediakan pelbagai inisiatif yang dikhususkan untuk menangani isu-isu yang dihadapi belia hari ini seperti pengangguran dan kos sara hidup tinggi.

Apa yang lebih penting adalah peluang luas untuk direbut golongan belia yang bersemangat memajukan diri dan meningkatkan pendapatan mereka menerusi latihan serta peluang pekerjaan lebih baik.

Ini terutamanya ketika statistik Tenaga Buruh Malaysia pada Mac dan suku pertama 2023 menganggarkan kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hinga 24 tahun adalah 11.2 peratus, melibatkan 317,300 penganggur belia.

Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, kerajaan sentiasa komited dalam menangani isu pengangguran belia.

Sivakumar

Jelasnya, menerusi inisiatif Dasar Pasaran Buruh Aktif yang dilaksanakan oleh Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), kerajaan dapat memberi sokongan yang lebih sistematik kepada belia untuk memperoleh pekerjaan serta membantu mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan belia.

“Salah satu inisiatif utama dalam Belanjawan 2023 adalah Program Daya Kerjaya Bagi Golongan Mudah Terjejas dan Perantisan Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) .

“Program ini membabitkan penempatan pekerjaan untuk kumpulan sasar daripada kalangan belia yang lama menganggur, graduan TVET dan golongan mudah terjejas seperti Orang Asli, wanita, orang kurang upaya (OKU), miskin tegar, individu diparol serta bekas banduan.

“Di bawah program ini, majikan diberi insentif kewangan sebanyak RM600 sebulan selama tiga bulan bagi setiap pekerja yang digajikan daripada kumpulan sasar tersebut.

“Matlamat utama Program Daya Kerjaya adalah untuk menggalakkan sektor swasta menggajikan pekerja daripada golongan yang disasarkan, merangsang permintaan pekerja dalam kalangan majikan, meningkatkan peluang pekerjaan serta mengurangkan pengangguran khususnya dalam kalangan belia,” katanya.

Menurut Sivakumar, kerajaan juga peka tentang perkembangan sektor gig yang giat diceburi oleh anak-anak muda.

Bagi menjamin masa depan golongan belia ini dan membantu mereka meningkatkan taraf hidup, kerajaan menggalakkan mereka beralih ke sektor pekerjaan formal dan peruntukan Belanjawan 2023 mempertanggungjawabkan Perkeso untuk melaksanakan inisiatif Program Bina Kerjaya Bagi Sektor Tidak Formal.

“Program ini bertujuan meningkatkan potensi individu yang bekerja dalam sektor tidak formal untuk memperoleh pekerjaan dalam sektor formal menerusi pelbagai pensijilan.

“Antaranya Program Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu, kursus pendek micro-credential dan pensijilan profesional atau kompetensi yang diiktiraf institusi pengajian tinggi awam dan swasta/Jabatan Pembangunan Kemahiran/Agensi Kelayakan Malaysia (MQA)/badan ikhtisas serta pusat bertauliah yang diiktiraf oleh badan peneraju industri seperti ACCA (Association of Chartered Certified Accountants), BOE (Board of Engineers) dan MIA (Malaysian Institute of Accountants).

“Di bawah program ini, kerajaan akan membiayai bayaran latihan sehingga RM4,000, manakala elaun sebanyak RM300 sebulan disediakan kepada peserta bagi tempoh maksimum selama tiga bulan.

“Kementerian Sumber Manusia percaya insentif bersasar ini akan memberi manfaat besar kepada golongan belia untuk mendapat pekerjaan tetap dengan pendapatan stabil, seterusnya berpeluang memperoleh peningkatan dalam kerjaya dan seterusnya meningkatkan taraf kehidupan,” ujarnya.

Kerajaan menyediakan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan kemahiran dan peluang kerja kepada belia. – Gambar hiasan

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, dengan sistem dan infrastuktur sedia ada, disokong pengalaman dan kemahiran kakitangan, pihaknya berkeyakinan dapat melaksanakan kesemua inisiatif yang dipertanggungjawabkan kerajaan bagi meningkatkan akses kepada peluang pekerjaan kepada rakyat terutamanya golongan belia.

Menurutnya, Perkeso sedang giat melaksanakan pelbagai program untuk memperkasa pasaran buruh negara di samping mempromosikan inisiatif seperti Daya Kerjaya, Bina Kerjaya dan Daya Kerjaya TVET.

“Sehingga 31 Mei 2023, sebanyak sembilan Karnival Kerjaya berskala mega dan 1,386 program temu duga telah dianjurkan. Kami menyasarkan penganjuran sejumlah 4,130 Karnival Kerjaya dan Program Temu duga di seluruh negara sepanjang tahun ini.

“Selain itu, Perkeso juga telah mengadakan 3,532 sesi libat urus bersama majikan dan 551 sesi libat urus bersama pencari kerja untuk mempromosi inisiatif Kerajaan bagi tahun 2023 serta memperkenalkan Portal Pekerjaan Negara MYFutureJobs dengan lebih meluas.

“Kami juga sedang membangunkan 13 Pusat Satelit MYFutureJobs di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di seluruh negara di bawah peruntukan Bajet 2023, sebagai tambahan kepada 292 Pusat Satelit MYFutureJobs yang telah dibangunkan di pelbagai lokasi di seluruh negara.

“Dengan kerjasama kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan, Pusat Satelit MYFutureJobs ini akan meningkatkan lagi capaian perkhidmatan pekerjaan yang disediakan Perkeso kepada pencari kerja menerusi aktiviti padanan pekerjaan, kaunseling kerjaya dan pemantauan pasaran buruh tempatan,” katanya.

Mohammed Azman menambah, pihaknya bersama Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) juga akan menubuhkan National Placement Centre di Lembah Klang sebagai pusat sehenti berfungsi sebagai lifelong learning centre bagi tujuan memberi pendedahan berhubung pasaran buruh semasa kepada golongan pelajar yang bakal memasuki dunia pekerjaan.

“Pusat ini akan mengguna pakai konsep experiential learning yang turut menawarkan perkhidmatan padanan pekerjaan dan membuat pengesyoran latihan berdasarkan jurang kemahiran seseorang pekerja,” ujarnya.

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI