KUALA LUMPUR – Para peminat atau pengamal diet vegan kini boleh menjamu selera dengan menikmati pelbagai menu di restoran Rightside yang telah dibuka di Mont Kiara dan Sri Petaling.
Restoran milik penuh anak tempatan itu adalah yang pertama seumpamanya dibuka di negara ini menawarkan hidangan 100 produk vegan yang bukan sahaja sihat, malah membuka selera selain eksklusif.
Pengarah dan Pengerusi Rightside Fast Food, Datuk Zhafran Md. Yusuf berkata, Rightside merupakan restoran makanan segera pertama di Asia yang menawarkan hidangan berasaskan tumbuhan setelah ia menjalankan penyelidikan secara inovatif dengan menggunakan bahan premium yang tinggi khasiatnya.
“Kami yakin dengan kehendak pasaran hari ini yang mahukan menu sihat lebih baik seperti vegan yang mana ia bukan sahaja berkhasiat tetapi mampu memenuhi cita rasa pelanggan yang masih boleh makan ketika berdiet,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam majlis pelancaran restoran tersebut di sini baru-baru ini.

Istimewanya di Rightside, semua menu dihasilkan secara buatan sendiri bermula daripada roti, daging burger, sos mayo, keju dan pelbagai lagi secara eksklusif.
Jelas Zhafran, daging burger atau patty diperbuat daripada protein kacang dan dimasak seperti burger hancur melalui tiga pilihan menu iaitu ZeroBeef, ZeroLamb dan ZeroChicken.
Burger juga didatangkan bersama roti vegan yang cukup lembut selain dihiasi dengan keju dan mayo vegan, bawang karamel dan cendawan. -KOSMO!ONLINE
















