fbpx

Mahkamah: Keluarkan nikotin, 3 NGO fail semakan kehakiman cabar Menteri Kesihatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR – Tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi di sini bagi mencabar keputusan Menteri Kesihatan mengenyahkan nikotin daripada senarai bahan terkawal di bawah Akta Racun 1952.

Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MKTM), Pertubuhan Green Lung Malaysia (MGLA) dan Voice of Children (VOC) selaku plaintif itu memfailkan saman tersebut melalui firma guaman, Tetuan Kanesalingam & Co. pada 30 Jun lalu di Mahkamah Tinggi di sini.

Mereka menamakan Menteri Kesihatan (tidak dinamakan secara spesifik) dan kerajaan masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua.

Berdasarkan penyata tuntutan, pada 31 Mac lalu, Menteri Kesihatan (pada ketika ini, jawatan tersebut dipegang oleh Dr Zaliha Mustafa) telah membuat keputusan untuk meminda Senarai di bawah Akta Racun yang mengeluarkan nikotin daripada senarai tersebut.

Cecair nikotin sebelum ini disenaraikan dalam Akta Racun ekoran ia bukan produk hasil tembakau yang tertakluk di bahawa Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

Mengikut Seksyen 17 Akta Racun, bahan yang berada dalam senarai akta tersebut tidak boleh dijual kepada mereka di bawah umur 18 tahun dan tindakan menjual atau membekalkan racun kepada orang belum dewasa kecuali untuk tujuan rawatan perubatan orang tersebut melakukan satu kesalahan di bawah Akta Racun.

Ekoran pindaan tersebut, rokok elektronik (vape) dan cecair nikotin boleh dijual secara terbuka kepada sesiapa sahaja tidak mengira peringkat umur.

Menurut laporan media sebelum ini, Dr. Zalina menyatakan pengecualian cecair nikotin termasuk tembakau, tampalan dan gula-gula getah, cecair dan gel nikotin daripada Akta Racun 1952 membolehkan kerajaan mengenakan cukai sebanyak 40 sen setiap mililiter (ml).

Plaintif-plaintif mendakwa Menteri Kesihatan telah bertindak secara salah, tidak rasional dan tidak mengikut prosedur.

Plaintif mendakwa sebagai Menteri Kesihatan defendan pertama itu telah gagal menajalankan tanggungjawabnya untuk menjaga kesihatan awam.

Ini kerana tindakan mengecualikan nikotin daripada Akta Racun telah membawa memudaratkan kesihatan awam secara khususnya terhadap kanak-kanak yang merupakan kalangan yang paling terdedah dalam masyarakat.

Selain itu, plaintif mendakwa Menteri telah bertindak tanpa mengambil kira pandangan Lembaga Racun dan tidak menyatakan alasan munasabah untuk bertindak bertentangan dengan keputusan yang dibuat oleh lembaga berkenaan.

Justeru, plaintif-plaintif memohon satu perintah certiorari untuk membatalkan keputusan pengecualian tersebut.

Turut dimohon ialah relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI