fbpx

Patung seks ‘lenyap’ dalam platform e-dagang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar patung seks yang dijual secara terbuka di platform e-dagang terkenal dalam negara ini.

PETALING JAYA – Penjualan patung mainan seks menyerupai kanak-kanak menerusi sebuah platform e-dagang dalam talian tular baru-baru ini sudah le­nyap sepenuhnya dalam aplikasi tersebut.

Tinjauan Kosmo! Ahad di aplikasi berkenaan mendapati, ca­rian menyerupai nama produk yang dipasarkan sebelum ini sudah tidak disenaraikan lagi.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan terdapat patung seks yang dikenakan pakaian baju kurung seperti budak sekolah dengan harga antara RM800 hingga RM3,000.

Hasil penelitian pada tangkap layar yang dikongsikan di media sosial sebelum ini, hampir ke­semua akaun seller (penjual) didapati berpangkalan dalam negara iaitu di Selangor.

Sementara itu, Ketua Polis Se­langor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, tiada laporan di­terima pihaknya setakat ini berhubung penjualan barangan tersebut.

“Berdasarkan penelitian, peniaga tersebut boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana menjual bahan lucah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia penyalahgunaan perkhidmatan dan kemudahan rangkaian.

“Justeru, pihak polis menasihati orang ramai tidak terlibat dalam menggunakan platform media sosial termasuk pembe­lian dalam talian melibatkan barangan terlarang termasuk dadah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad.

Tegas beliau, perkara ini dalam perhatian pihak polis dan sebarang siasatan akan dijalankan dalam masa terdekat.

Penganalisis jenayah, Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, kewujudan barangan tersebut menunjukkan terdapat individu dipercayai bernafsu terhadap kanak-kanak (pedophilia) di negara ini.

“Pembelian barangan ini menunjukkan wujud pedophilia dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Kemungkinan akan wujud peningkatan kes jenayah seksual dan masalah kekeluargaan jika tidak dikawal daripada awal,” katanya.

Terdahulu, sebuah platform e-dagang memaklumkan akan mengambil tindakan terhadap beberapa akaun yang dilaporkan menjual patung seks budak itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI