fbpx

Dua beradik tidak dipaksa berniaga depan bank – JKM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Che Samsuzuki ketika ditemui Kosmo! di pejabatnya di Kuala Lumpur pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Dua beradik yang tular menjaja di kaki lima berhadapan sebuah bank di dua lokasi berbeza di ibu negara mengakui tindakan itu adalah secara sukarela serta mahu membantu pendapatan keluarga.

Dua beradik berusia 16 dan 14 tahun itu telah ditemu bual pasukan pegawai Pelindung di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setelah laporan diterima daripada seorang lelaki pada 24 Mei lalu.

Sebelum itu tular video yang dimuat naik oleh seorang lelaki yang mendakwa dua kanak-kanak itu dipaksa bekerja oleh bapa mereka sehingga 12 jam sehari berhadapan sebuah bank di Setapak dan Gombak.

Kata Pengarah JKM Wilayah Kuala Lumpur, Che Samsuzuki Che Noh, hasil temu bual kanak-kanak itu di sebuah sekolah, mereka tidak dipaksa oleh bapanya untuk bekerja.

“Pegawai JKM telah cari budak itu dua kali di depan bank tetapi gagal sehingga memaksa kami ke sekolah untuk menemui dua beradik berkenaan,” jelasnya ketika ditemui Kosmo! hari ini.

Selain itu kata Che Samsuzuki, hasil temu bual, dua beradik itu mengaku tidak dipaksa bekerja dan hanya membantu menjual gajet serta beberapa jenis minuman seperti ‘yogurt’ (minuman susu berkultur) sekali-sekala.

“Ibu dan bapa kanak-kanak itu juga kami ada temu bual dan JKM dapati tiada unsur penganiayaan berlaku terhadap dua beradik tersebut,” tambah beliau.

Ujarnya, laporan maklum balas aduan telah dilengkapkan dan kes ditutup memandangkan tiada aktiviti perniagaan melibatkan kanak-kanak dan tiada maklumat lanjut berkaitan kes

Che Samauzuki memberitahu, pihaknya telah berhubung dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia untuk menurunkan video tular tersebut bagi menjaga aib pihak terlibat.

“Saya ingin ingatkan juga individu di luar sana, untuk tidak menularkan video atau rakaman yang mengaibkan orang lain, dan sekiranya perkara itu memerlukan bantuan, segera membuat aduan kepada pihak terlibat,” pesannya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI