fbpx

Gadis Kampus: Fatien Hananie aktif di TikTok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FATIEN HANANIE

KEBIASAANNYA kehidupan di alam kampus sebagai siswa perlu dinikmati dengan sebaiknya sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

Meskipun tidak terlepas daripada pelbagai cabaran mendatang sepanjang bergelar mahasiswa, namun halangan tersebut menjadikan seseorang pelajar itu kental dalam mendepani rintangan.

Perkara tersebut turut dilalui oleh gadis bernama Nur Fatien Hananie Kamaruddin iaitu pelajar semester tiga jurusan Komunikasi Media di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Sering berkongsi kisah hidup menerusi video pendek di TikTok, gadis yang mesra disapa Fatien Hananie berkata, setiap detik perlu dimanfaatkan sebaik mungkin supaya kenangan terindah dapat tercipta.

Dia yang mula aktif memuat naik kandungan dalam aplikasi itu sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) turut menjadikan platform tersebut sebagai ruang mengetengahkan bakat tarian yang dimilikinya.

“Kalau ditanya bila mula menari, saya sebenarnya aktif masa PKP. Ketika itu saya berada di tingkatan enam.

“Content (kandungan) yang saya muat naik sekadar tarian ringkas di dalam kelas.

“Saya mula minat menari sejak tadika lagi sebenarnya.

“Cuma saya tidak sangka, salah satu video yang dimuat naik dalam TikTok pernah viral sampai buatkan pengikut bertambah sekelip mata,” katanya membuka bicara.

Berkongsi lanjut, dia mengakui platform media sosial banyak membantunya sepanjang melanjutkan pengajian di Perlis.

FATIEN HANANIE (kiri) sewaktu terlibat dalam persembahan tarian pada majlis konvokesyen di universiti.

Katanya, dia memang menggunakan media sosial sepenuhnya lebih-lebih lagi bagi subjek yang memerlukannya untuk berbuat demikian.

“Sejajar dengan jurusan yang saya ambil iaitu komunikasi, hendak atau tidak saya perlu belajar dan banyak menggunakan media sosial.

“Ini sedikit sebanyak memberi kebaikan dan manfaat kepada saya kerana mempunyai pengikut yang ramai,” katanya yang memiliki lebih 15,000 pengikut di TikTok.

Menurut anak sulung daripada empat beradik itu, minat mendalam terhadap tarian juga telah mendorongnya menyertai beberapa aktiviti anjuran universiti.

Gadis berusia 22 tahun itu memaklumkan, pencapaian terbaik berjaya dilakarnya adalah menjadi salah seorang penari yang membuat persembahan pada acara konvokesyen di universiti.

Tidak sekadar aktif menari, Fatien Hananie memberitahu, dia juga gemar menyertai program sukarelawan bagi melengkapkan dirinya sebagai mahasiswa.

“Saya turut menggunakan TikTok sebagai medan mempromosikan aktiviti yang dilakukan seperti penyertaan dalam program sukarelawan di Pulau Tuba (Langkawi) baru-baru ini.

“Saya memang suka aktiviti sukarelawan kerana dapat turun padang membantu mereka yang memerlukan.

“Waktu dan peluang yang ada digunakan sebaik mungkin bagi mencipta banyak memori sebagai mahasiswa sebelum masuk ke alam pekerjaan kelak,” katanya.

Selain itu, dia juga sering dipilih menjadi pengacara bagi beberapa program dan aktiviti kelolaan pihak universiti.

Meskipun sibuk dengan aktiviti di dalam dan luar kampus, namun Fatien Hananie tidak pernah mengabaikan pelajaran.

Akuinya, dia perlu bijak mengatur waktu sementelah dirinya aktif dengan pelbagai aktiviti.

“Alhamdulillah, saya dapat membahagikan masa dengan baik antara aktiviti dan akademik.

“Saya akan pastikan setiap tugasan mempunyai progres (kemajuan) sebelum menyertai mana-mana program sukarelawan di luar.

“Sebenarnya, saya memang berminat dan ada pasang cita-cita menjadi wartawan atau pembaca berita selepas tamat pengajian nanti,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI