fbpx
Gambar hiasan

Dukun tunggang agama buang saka hidup kaya-raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kepercayaan serta ketaksuban orang ramai terhadap rawatan alternatif termasuk membuang saka atau makhluk halus dilihat semakin menjadi-jadi sehingga memberi pulangan mewah kepada seorang dukun di sebuah negeri.

Hasil keuntungan itu membolehkan dukun terbabit memiliki beberapa kenderaan mewah apabila mengenakan bayaran bermula RM250 seorang mengikut jenis saka yang perlu dibuang seperti saka harimau, saka buaya atau saka hantu.

Selain rawatan secara fizikal, dukun yang sedang mengumpul pengikut itu juga dikatakan berkebolehan membuang saka jarak jauh.

Menurut sumber, dukun ter­babit mula aktif sejak beberapa tahun lalu dan ramai ‘pesakit’ mendapatkan rawatan secara fizikal dengannya seawal pukul 9 pagi sehingga petang.

“Dukun terbabit menyediakan pelbagai pakej rawatan dan caj akhir sesi rawatan boleh mence­cah ribuan ringgit.

“Sebelum pesakit pulang, mereka akan ditawarkan pula untuk mempelajari ilmu rawatan dengan kadar bayaran tertentu,” katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.

Sumber memberitahu, selain membuang saka, dukun terbabit juga menawarkan rawatan sihir dengan caj hanya puluhan ringgit, manakala ilmu pemisah pula mencecah ratusan ringgit bagi setiap sesi.

Ditanya mengenai pesa­kit yang sering mendapatkan perkhid­matan dukun itu, dia menjelaskan, sebilangan besar mereka adalah orang luar yang datang dari seluruh negara.

“Ada yang sanggup datang dari Kedah semata-mata untuk mendapatkan rawatan secara fizikal,” ujarnya.

MASIH ramai yang percaya dukun yang kononnya boleh mengubat pelbagai penyakit.- GAMBAR HIASAN

Sementara itu, seorang penduduk kampung yang dikenali sebagai Zulkifli, 39, mempersoalkan mengenai kesahihan ilmu al-Quran yang digunakan oleh dukun terbabit apabila terlalu ramai pesakit mendapatkan rawatan dengannya.

“Kami penduduk kampung memang tak pernah mendapatkan rawatan di situ. Saya lihat pemilik premis terbabit menggunakan kereta-kereta mewah, jadi sedikit sebanyak memang timbul syak wasangka,” katanya.

Dalam pada itu, sumber dalaman jabatan agama Islam memberitahu, pihaknya kini sedang memantau dukun terbabit kerana disyaki menyeleweng daripada aqidah Islam.

Menurut sumber itu, pihaknya juga dalam proses penyediaan sighah fatwa dan warta dengan meneliti ciri-ciri yang diguna pakai oleh dukun tersebut dalam perawatan yang dijalankannya.

“Ciri-ciri yang diteliti itu adalah kaedah menggunakan jin, amalan pembacaan ayat-ayat tertentu daripada al-Quran secara dalam hati yang bertentangan dengan kaedah sebenar pembacaan al- Quran dan hukum syarak,” jelasnya.

Menurutnya, orang ramai dinasihati untuk lebih berhati-hati dalam mendapatkan perubatan secara Islam termasuklah mengambil kira aspek pengamalnya dan khidmat yang disediakan.

“Kita boleh melihat juga cara rawatannya untuk memastikan ia tidak bercanggah dengan sya­riat Islam dan meragukan serta aspek praktikal seperti pemeliharaan aurat wanita,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN