fbpx

Masyarakat makin pasif, jadi hamba telefon pintar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SATU kajian pada tahun lalu mendedahkan Malaysia mempunyai kadar ketagihan telefon pintar antara tertinggi di dunia apabila berada di tempat ketiga di belakang China dan Arab Saudi.

Selain itu, hasil laporan tahunan Digital 2023 yang dikeluarkan oleh Meltwater, peneraju global dalam maklumat media dan sosial serta We Are Social bagi Januari 2023 mendapati, pengguna berusia 25 hingga 34 tahun adalah paling aktif.

Situasi ini jelas dilihat dalam kalangan masyarakat apabila mereka sukar untuk berenggang dengan telefon pintar masing-masing sama ada sedang bermain permainan video, berbual dengan kenalan atau melayari internet.

Seperti kisah rakan penulis, dia mengakui mudah resah dan berasa tidak tenteram apabila hanya lima minit tidak membelek telefon pintarnya meskipun tidak mempunyai sebarang tujuan.

Katanya, ketika berkumpul bersama keluarga di rumah, te­lefon pintar pasti akan sentiasa berada di tangan, dan pada masa sama, fokus terhadap perbincangan dalam kalangan ahli keluarga juga tidak ada.

Mendedahkan kesan kepada situasi ini, Pegawai Psikologi Kanan, Bahagian Perkhidmatan Sumber Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Siti Fatimah Abdul Ghani berkata, ketaksu­ban masyarakat terhadap telefon pintar berisiko menyebabkan mereka kurang berkomunikasi dengan orang lain sekali gus me­lahirkan generasi pasif.

Katanya, hubungan psikososial menjadi semakin terhad di mana interaksi berlaku lebih kerap secara maya berbanding bersemuka.

Tambah Siti Fatimah, seba­gai kebiasaan, penggunaan te­lefon pintar dalam kalangan masyarakat akan terhenti pada waktu tidur dan sewaktu mereka melakukan aktiviti privasi sahaja.

“Dalam satu tinjauan yang dilakukan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mendapati, rata-rata pengguna menghabiskan lebih enam jam dalam talian sehari melayari internet antaranya melalui medium telefon pintar,” katanya kepada Kosmo!.

Bercerita lanjut, antara kesan lain yang akan timbul dari ‘habit’ ini adalah mereka akan kekurangan masa berkualiti terutama dengan keluarga disebabkan masa serta perhatian hanya berfokus kepada telefon pintar masing-masing.

“Cuba anda renungkan dalam tempoh masa sebulan, berapa lama anda menghabiskan waktu menggunakan telefon pintar sehingga anda membazir waktu berkualiti?

“Kesan lain juga akan mengganggu masa tidur seorang manusia normal kerana secara umum manusia memerlukan tidur yang lengkap sekurang-kurangnya tujuh hingga lapan jam sehari.

“Jika telefon bimbit sentiasa dinyalakan dan notifikasi masuk sewaktu tidur, ia boleh mengganggu kualiti tidur dan memberi kesan kepada kesihatan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Siti Fatimah memberitahu, kebergantungan terhadap telefon pintar ini boleh menimbulkan kekeliruan dalam komunikasi kerana maklumat hanya disampaikan melalui sistem aplikasi pesanan ringkas bertaip.

“Ini kerana, sesetengah manusia berpontensi untuk tersalah tafsir maksud pesanan ringkas yang diterima kerana ia tidak disampaikan melalui perbualan langsung.

“Malah, kekeliruan boleh berlaku jika individu yang berkomunikasi tidak mempunyai tahap pemahaman yang tinggi tentang maklumat yang disampaikan. Malah, ia juga boleh menimbulkan perselisihan faham antara satu sama lain,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI