fbpx

Jemputan Ke Neraka bermula 22 Jun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Filem Jemputan Ke Neraka mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 22 Jun ini.

JUDULNYA, Jemputan Ke Neraka sahaja sudah berbunyi seram, bahkan mampu membuat orang ramai berdiri bulu roma meskipun hanya melihat trailer dan poster.

Filem yang bakal memasuki pawagam seluruh negara bermula 22 Jun ini dijangka sarat pengajaran dan plot twist, selain menjangkau standard kebiasaan naskhah genre sama.

Arahan sulung pengarah muda Amor Rizan untuk karya layar perak terbitan Anne Ngasri di bawah AN Universal, Jemputan Ke Neraka juga dijangka meletakkan penanda aras baharu buat filem bergenre seram.

Penerbit bersama, Darling Ngasri berkata, cerita asal filem berkenaan sebenarnya sudah terperap sejak 10 tahun lalu.

Jelasnya, bertunjangkan kesungguhan Amor Rizan, akhirnya Jemputan Ke Neraka berjaya dibawa ke layar perak tahun ini.

“Amor Rizan sudah menyimpan dan menulis naskhah ini sedekad lalu, dengan bayangan dan hala tuju olahannya.

“Dia benar-benar serius dengan naskhah ini malah bersyukur ideanya dapat diluahkan dalam filem yang bakal ditayangkan tidak lama lagi,” jelasnya.

Darling atau nama lengkapnya Nasreen Ngasri berkata, idea dan skrip asal yang diperam lama itu telah ditambahbaik supaya lebih terkini.

“Skrip banyak diolah semula dengan elemen segar, malah ketika penggambaran pun kita ubah dari segi plot twist serta beberapa babak yang kita fikir boleh ditambah baik.

“Bukan sahaja skrip, waima semasa proses penyuntingan pun kita ada improvisasi demi kepuasan maksima penonton,” ulasnya lagi.

Dalam pada itu, seorang pelakon utamanya, Jasper Supayah selaku penggalas watak Lisa menjelaskan, selain naskhah berat, watak yang dilakonkan juga mencabar mental dan menuntut kekuatan fizikal.

“Watak Lisa memerlukan saya melakukan aksi lagak ngeri dan menggunakan mekap kesan khas yang memakan masa lama untuk disempurnakan sampai buang air pun kena tahan.

“Tetapi saya suka watak lasak dan mencabar seperti itu, jadi untuk bawa kerana beri pengalaman bermakna buat saya yang baru setahun jagung dalam arena lakonan,” katanya.

Senada dengan Jasper, pelakon Alif Hadi yang memegang watak Amar pula memaklumkan, cabaran buatnya lebih cenderung sisi ke arah emosi agar impaknya sampai kepada penonton.

“Plot filem ini berliku dengan banyak sub plot menarik yang bakal membuat penonton berfikir motif di sebalik setiap kejadian.

“Jadi untuk pastikan tidak ‘pecah lubang’, jalan cerita itu ke arah mana, saya perlu mainkan watak tersebut dengan sangat baik dan teliti,” katanya.

Bakal ditayangkan di 70 pawagam tanah air, Jemputan Ke Neraka turut dibintangi pelakon Janna Nick, Sharifah Sakinah, Hafreez Adam, Hariz Hamdan, Nik Syaf, Jasper Supayah, Wafariena Roslan, Alif Hadi dan Aleza Shadan.

Naratif bermula apabila Ivy seorang kurator balai seni mendapat kad jemputan ke perkahwinan sahabat lamanya semasa di universiti, Lisa.

Majlis perkahwinan mewah tersebut diadakan di sebuah banglo atas bukit di kawasan peranginan terasing.

Kejadian ngeri bermula apabila mereka menjumpai mayat Lisa tergantung dalam sebuah bilik hingga mencetuskan panik.

Pada masa sama, enjin kereta mereka pula seperti dirosakkan seseorang dan semua tetamu terpaksa bermalam di banglo berkenaan.

Dari situlah, satu demi satu episod ngeri berlaku.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI