fbpx

Pengalaman seram sewa bilik rumah wanita aneh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Perangai Siti yang suka rumah bergelap pada waktu malam selain menyanyi lagu-lagu yang menyeramkan semasa mandi menyebabkan Mira ketakutan. – GAMBAR HIASAN

PENGALAMAN tinggal serumah dengan seorang wanita pelik menjadikan Mira (bukan nama sebenar) kini berusaha mencari rumah sewa baharu berhampiran dengan tempat kerjanya.

Kongsinya, biarpun sudah tidak lagi tinggal bersama bekas teman serumahnya itu, namun dia tidak boleh melupakan apa yang berlaku.

Membuka cerita, Mira berkata, dia mencari rumah sewa di kawasan Petaling Jaya, Selangor selepas mendapat pekerjaan baharu sekitar awal tahun lalu.

Selepas melihat iklan bilik sewa yang diiklankan oleh Siti (bukan nama sebenar), Mira terus berminat untuk menyewanya dan terus menghubungi Siti.

“Siti merupakan seorang wanita bujang berusia 38 tahun.

“Dia sebelum ini sememangnya tinggal seorang diri di kondominium yang dibelinya itu, namun berniat menyewakan salah satu bilik kerana tersedar dirinya berasa sunyi dan memerlukan teman,” kata Mira.

Tambah anak kelahiran sebuah negeri di utara tanah air itu lagi, rumah Siti yang bersih dan kemas menjadikan dia berminat untuk menyewa di situ.

Siti juga merupakan seorang wanita yang baik, peramah dan gemar memasak, menjadikan Mira selesa untuk berkawan dengannya.

Namun, selepas sebulan, Mira mulai menyedari perangai Siti yang aneh dan kadangkala agak menyeramkan.

“Siti memberitahu saya bahawa dia merupakan seorang doktor, namun saya tidak pernah melihat dia keluar dari rumah untuk ke tempat kerja.

“Malah, dia juga sebenarnya tidak pernah keluar rumah sama sekali dan saya juga hairan bagaimana dia boleh mendapatkan barangan memasak yang digunakan untuk memasak setiap hari.

“Saya fikir, mungkin dia membelinya secara online sahaja dan dihantar ke rumah,” kata Mira.

Siti juga gemar duduk di dalam gelap di rumah dan akan mematikan lampu pada waktu malam.

Ujar Mira, dia berasa kurang selesa berada dalam gelap pada waktu malam, namun dia takut untuk memandai-mandai di dalam rumah itu memandangkan dia hanyalah penyewa.

Siti juga hanya akan mandi sehari sekali iaitu pada waktu tengah malam. Malah, dia juga akan menyanyi lagu-lagu menyeramkan ketika mandi, yang menyebabkan Mira tidak selesa.

“Sepanjang tinggal di rumahnya, saya perasan Siti hanya akan mandi selepas pukul 12 tengah malam dan ketika itu dia akan menyanyi lagu-lagu yang membuatkan bulu roma saya meremang.

SITI yang sebelum ini tinggal sendirian mencari teman serumah dengan menyewakan salah satu bilik di dalam rumahnya. – GAMBAR HIASAN

“Dia juga akan mandi dalam keadaan gelap dan selepas mandi adakalanya dia akan ke dapur, katanya untuk memasak,” kata Mira.

Keadaan itu yang berlanjutan berbulan lamanya menjadikan Mira semakin ketakutan dan mulai kurang selesa dengan Siti.

Dia mulai menyuarakan kebimbangannya itu kepada Siti, namun Siti hanya mentertawakan Mira dan berkata perkara tersebut bukanlah sesuatu yang pelik.

Mira kemudiannya mulai terfikir untuk berpindah keluar, namun dia berasa dilema memandangkan bayaran sewa yang dikenakan Siti cukup rendah, selain lokasi rumah itu yang terletak hanya lima minit dari pejabat Mira.

“Memandangkan saya baru sahaja mula bekerja, maka gaji yang diterima pun hanya cukup-cukup makan. Saya juga perlu menyara ibu di kampung lalu saya berasa serba salah sekiranya perlu berpindah,” jelasnya.

Namun, Mira akhirnya nekad berpindah keluar selepas dia beberapa kali berdepan insiden bekalan elektrik tiba-tiba terputus ketika dia mahu mengaji pada waktu malam.

“Pernah satu ketika, selepas menunaikan solat isyak, saya mahu mengaji di dalam bilik.

“Namun, sebaik sahaja saya memulakan bacaan, lampu rumah terus terpadam, menyebabkan saya terkejut dan terus berlari keluar bilik.

“Siti pula menjelaskan bahawa ia perkara biasa, menyebabkan saya semakin tidak selesa dengannya dan tak faham apa yang dimaksudkannya sebagai ‘perkara biasa’,” kata Mira.

Insiden itu berulang lagi selama beberapa kali, menyebabkan Mira terus berpindah keluar kerana dia yakin ada yang tidak kena pada Siti dan rumahnya itu. Kini, dia menumpang di rumah sepupunya buat sementara waktu sebelum mencari rumah sewa baharu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI