Sebelum sesiapa membuat sebarang spekulasi, Kata Editor ini bukan untuk menyokong pengambilan atau menggalakkan pengambilan vape atau rokok.
Itu adalah hak dan kebebasan individu. Mereka yang mengambil sebarang ‘substance’ tahu baik buruknya. Kita hidup dengan pilihan yang kita buat. Adalah tanggungjawab seseorang untuk menilai semua maklumat dan tugas kerajaan memberikan sebanyak mungkin maklumat.
Hari ini seperti juga ketika kerajaan terdahulu timbul semula perbincangan mengenai undang-undang mengenai rokok dan vape dan idea generasi penamat kepada apa yang dianggap bahana kepada masyarakat.
Untuk fakta, banyak laporan kesihatan menyatakan kedua-dua bahan ini membawa mudarat kepada kesihatan. Ia jelas memudaratkan kesihatan.
Cuma setiap kali kita membincangkan mengenai sesuatu yang memudaratkan, adakah kita berlaku adil kepada semua.
Satu laporan menyatakan Malaysia mempunyai jumlah penghidap penyakit kencing manis atau diabetes tertinggi di Asia dan kedua tertinggi di dunia selepas Arab Saudi.
Berdasarkan laporan itu, hampir empat juta penduduk negara ini menghidap kencing manis atau satu dalam setiap lima individu dewasa berusia 18 tahun ke atas. Itu amat membimbanngkan.
Adakah kita tidak perlu menangani masalah ini kerana kesannya kepada perbelanjaan kesihatan negara, kehilangan tenaga kerja dan lebih memilukan kehilangan nyawa. Kita mesti kenal seseorang yang meninggal kerana kencing manis.
Adakah kita tidak perlu berkempen mengenai cara hidup sihat, kurang pengambilan gula dan menjaga berat badan? Apa yang kita tidak boleh buat adalah menarik hak pengambilan gula dalam kalangan rakyat hanya kerana ia boleh menyebabkan kencing manis.
Jadi persoalan seterusnya, adakah rokok dan vape sahaja bahana kepada masyarakat?
Kita tahu ketagihan alkohol dikaitkan dengan lapan jenis penyakit. Ada banyak laporan dan kajian kesihatan yang telah merujuk kepada ketagihan ini.
Banyak juga kes membabitkan pemandu mabuk dengan terbaru seorang pemandu merempuh enam motosikal yang berteduh kerana hujan. Berapa ramai yang maut kerana sikap pemandu mabuk. Berapa
ramai yang ditahan di bawah pengaruh alkohol ketika memandu? Adakah ini juga bahana kepada masyarakat?
Kita juga semua tahu mengenai aktiviti judi dan judi haram. Berapa banyak keluarga yang menderita kerana ketagihan judi.
Mungkin kita juga perlu memikirkan sama ada perlu melahirkan Generasi Penamat (GEG) perjudian. Berapa banyak keluarga dapat diselamatkan kerana ketagihan judi.
Atau kita melihat rokok dan vape lebih bahaya berbanding judi? Dari segi Islam, kedua-duanya sama-sama memudaratkan.
Bagaimana pula dengan curut mahal? Adakah kita juga akan mengklasifikasikan sebagai produk yang perlu diputuskan generasi pengikutnya? Ini produk kegemaran golongan kaya.
Untuk jadikan semua benda memudaratkan sebagai generasi penamat mustahil. Tanpa judi kedai, ada judi online. Kita hanya perlu terus mengajar, mendidik dan menekankan sejak awal dan harapnya ia dapat membuahkan hasil.














