fbpx

MPC P. Pinang pasang panel solar, langkah jimat bil elektrik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Yazid (kanan) ketika Majlis Penyempurnaan Pemasangan Panel Solar di kompleks MPC Wilayah Utara, Kepala Batas hari ini.

SEBERANG PERAI – Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) mengorak langkah dalam usaha penjimatan bekalan elektrik apabila terlibat dengan pemasangan panel solar di pejabat wilayah Utara, Kepala Batas di sini.

Ini susulan pemeteraian dua perjanjian bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan syarikat pengendali ladang solar terkemuka negara iaitu Gading Kencana Sdn. Bhd. untuk menyertai Skim Sistem Permeteran Tenaga Bersih (NEM) 3.0.

Perjanjian dengan tawaran kuota sebanyak 500 megawatt (MW) untuk tempoh tiga tahun bermula 2021 di bawah NEM GoMEN, yang memfokuskan kementerian serta entiti di bawahnya itu turut melibatkan pemasangan panel solar di pejabat MPC wilayah Selatan dengan nilai pelaburan keseluruhan sebanyak RM1.6 juta.

Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan dan Kewangan MPC, Mohd. Yazid Abdul Majid berkata, melalui pemasangan panel solar itu khususnya di pejabat wilayah utara ini, MPC berpeluang untuk menikmati penjimatan bil elektrik sehingga melebihi RM2,000 sebulan.

“Proses pemasangan (panel solar) dijangka hanya mengambil masa selama satu minggu sahaja dan minggu depan (minggu berikutnya), ia (tenaga solar itu) sudah boleh di’energize’ (dijana) dan dijual semula (kepada TNB),” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada majlis Penyempurnaan Pemasangan Panel Solar di Kompleks MPC Wilayah Utara di sini yang turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (Industri), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri iaitu Datuk Hanafi Sakri.

Difahamkan, sebanyak 264 keping panel solar berkuasa 570 watt (w) akan dipasang di beberapa blok di seluruh kompleks berkenaan dengan kira-kira 219,683 kilowatt sejam (kWh) tenaga solar mampu dijana untuk tempoh setahun.

Pemasangan panel solar untuk pejabat kerajaan pertama di utara Semenanjung itu juga bakal menyaksikan sebanyak 2,724 jejak karbon dioksida (tCo2) dapat dikurangkan sekaligus menjadikan kompleks MPC Wilayah Utara itu sebagai bangunan rendah karbon selepas ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI