PETALING JAYA – Little Caliphs® International Sdn. Bhd. (LCISB) berjaya mengumpulkan kira-kira 6,500 pelajar tadika Little Caliphs pada tahun ini untuk menunaikan ‘haji’ dalam Program Simulasi Little Hajj 2023 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang.
Melalui bimbingan 780 guru yang bertindak sebagai mutawwif, kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia enam tahun lengkap berpakaian ihram melaksanakan aktiviti tawaf sebuah replika Kaabah dengan ketinggian 10 kaki yang diletakkan di kawasan strategik di taman tersebut.
Pendekatan praktikal melalui metodologi Project Based Learning (PBL) dari Program The Little Caliphs itu turut mengetengahkan pembelajaran mengenai cara memakai kain ihram, wukuf di Arafah, bermalam di Muzdalifah, mabit di Mina, bersa’ie dan juga melontar Jamrah.

Ketua Pegawai Eksekutif LCISB, Roslan Nordin berkata, ini adalah program simulasi kali ketujuh sejak tahun 2016 untuk memberi pengalaman kepada kanak-kanak untuk merasai pengalaman naik haji dan fasa pertama ini dilaksanakan terlebih dahulu di Lembah Klang.
Menurut beliau, untuk tahun ini, pelajar yang terlibat adalah seramai 14,000 orang dengan baki daripadanya akan dilaksanakan di negeri dan zon lain seperti Terengganu, Pahang, Johor, Sabah, Sarawak, zon utara, tengah dan selatan secara berperingkat.
“Istimewanya tahun ini adalah kami menyambut sambutan ulang tahun Little Caliphs yang ke-20 dan kami telah berjaya mengubah landskap pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia yang mana ia telah menjadi mercu tanda kepada harapan buat ibu bapa dan pendidik.

“Perjalanan kurikulum dan metodologi pengajaran yang digunakan bukan sahaja berinovatif malah ia terbukti berkesan serta turut diserapkan dengan nilai-nilai yang diajarkan oleh agama Islam,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan bersempena majlis pelancaran program simulasi tersebut baru-baru ini.
Selain itu, Roslan menjelaskan, Little Caliphs bakal mengembangkan sayap kepada LittleCaliphs Playschool untuk anak-anak berusia dua hingga tiga tahun dan juga program transit untuk anak-anak berumur lapan hingga 12 tahun.
Syarikat juga telah mewujudkan Little Caliphs Excelence Center iaitu pusat kajiannya tersendiri.














