fbpx

Lelaki larikan iPhone 11 ditangkap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBAHAGIAN barang yang berjaya dirampas selepas suspek ditangkap, di Kluang, semalam.

KLUANG – Seorang lelaki berjaya ditangkap di rumahnya hanya kira-kira 12 jam selepas melarikan sebuah iPhone 11 di sebuah pasar raya di bandar ini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, kejadian yang berlaku kira-kira pukul 1 tengah hari semalam itu berjaya dikesan melalui televisyen litar tertutup (CCTV) yang dipasang di hadapan premis.

Katanya, hasil siasatan, suspek berusia 24 tahun itu pada awalnya datang ke premis berkenaan dan meminta pembantu kedai memberikan telefon iPhone 11 berwarna putih yang dipamerkan kononnya untuk melihat.

“Suspek lari keluar dari premis tanpa membuat sebarang bayaran seterusnya meninggalkan pasar raya berkenaan dengan motosikal yang diletakkan di hadapan pintu masuk.

“Cubaan pembantu kedai untuk mengejar turut gagal sebelum semakan melalui CCTV berjaya mengenal pasti suspek menggunakan motosikal ketika melarikan diri,” Katanya melalui kenyataan, hari ini.

Menurut Bahrin lagi, selepas menerima laporan daripada pembantu kedai berkenaan pada pukul 8 malam, sepasukan pegawai dan anggota melancarkan gerakan sebelum berjaya menangkap suspek di rumahnya kira-kira pukul 1.45 pagi tadi.

Ujarnya lagi, hasil daripada tangkapan ke atas suspek, pihak polis berjaya merampas sebuah motosikal jenis Honda Wave 125 warna Biru, sebuah telefon bimbit jenis iPhone 11 warna putih, sehelai baju-T berwarna merah jenama Adidas Tertera tulisan Nombor 22, sehelai seluar panjang dan topi.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membolehkan dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

“Semakan turut mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau berkaitan jenayah dan satu rekod dadah, bagaimana pun ujian saringan air kencing negatif,”katanya lagi.

Tambah Bahrin lagi, hasil soal siasat, suspek mengaku mencuri telefon IPhone 11 di premis berkenaan dan dikenakan tahanan reman selamat empat hari sehingga 12 Jun.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI