fbpx

Bercinta sebulan, pemilik tadika ditipu lebih RM1 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

MELAKA – Seorang pemilik tadika terpaksa gigit jari selepas kerugian lebih RM1 juta gara-gara terlibat dalam pelaburan tidak wujud yang diperkenalkan lelaki warga Taiwan dikenalinya, sebulan lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, mangsa berusia 53 tahun itu mengenali suspek selepas akaun sosial Instagramnya ‘ditag’ oleh lelaki tersebut yang mengggunakan nama Tan Sau Fung pada 27 April.

Katanya, suspek mendakwa kononnya menetap di Jepun dan pasangan itu menjadi rapat setelah kerap berhubung melalui talian Lime, selain berkomunikasi secara lisan serta pesanan mesej ringkas (SMS).

“Suspek memberitahu mangsa dia sedang mencari pelabur dalam satu perniagaan membeli barangan di dalam laman web yang kononnya beribu pejabat di Amerika Syarikat.

“Pada 7 Mei, suspek telah menawarkan mangsa supaya melabur dengan membeli barang dalam laman web terbabit sebelum menjual semula dengan keuntungan 10 peratus bagi setiap barang,” katanya dalam satu kenyataan akhbar dikeluarkan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, disebabkan mangsa terlalu mempercayai suspek, dia akhirnya membuat 28 transaksi pemindahan wang ke dalam enam akaun bank berbeza diberikan lelaki berkenaan.

“Transaksi itu telah dilakukan dari tempoh 7 Mei sehingga 30 Mei lalu dengan jumlah keseluruhan pemindahan wang sebanyak RM1.064 juta.

“Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas diarahkan untuk membuat bayaran tambahan bagi mengeluarkan komisyen yang kononnya diperolehi berjumlah USD200,000 (RM923,685.55),” ujarnya.

Tambahnya, mangsa akhirnya tampil membuat laporan polis di Balai Polis Ayer Keroh pada Rabu lalu selepas mendapati laman web berkenaan gagal diakses pada keesokan harinya.

Zainol berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI