fbpx

Abdul Rasheed dilantik Gabenor Bank Negara baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Rasheed.

PETALING JAYA – Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Rasheed Abdul Ghaffour dilantik sebagai Gabenor BNM baharu berkuat kuasa 1 Julai ini hingga 30 Jun 2028.

BNM dalam kenyataan memaklumkan, Abdul Rasheed akan mengambil alih jawatan itu daripada Tan Sri Nor Shamsiah Mohd. Yunus yang akan menyempurnakan tempoh perkhidmatan lima tahun beliau pada 30 Jun ini.

Jelasnya, pelantikan Abdul Rasheed telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Kenyataan itu menyebut, Abdul Rasheed mula berkhidmat di BNM pada 1988 dan dilantik sebagai Timbalan Gabenor pada 2016.

“Beliau memperoleh ijazah Sarjana Muda Ekonomi daripada Universiti Malaya. Beliau juga mempunyai MBA daripada Saïd Business School, Oxford University. Sepanjang kerjayanya, Abdul Rasheed pernah memegang pelbagai jawatan pengurusan kanan.

“Beliau kini merupakan ahli Jawatankuasa Dasar Monetari dan Jawatankuasa Kestabilan Kewangan sejak 2015. Beliau juga telah memainkan peranan penting dalam pembangunan dan pelaksanaan Pelan Induk Sektor Kewangan (2000-2010) dan Pelan Sektor Kewangan (2011-2020 dan 2022-2026),” kata kenyataan tersebut hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Rasheed berkata, pelantikan sebagai Gabenor merupakan penghormatan kepada beliau dan akan menerus serta meningkatkan lagi usaha yang dilaksanakan oleh Nor Shamsiah.

Kata beliau, di bawah kepimpinan Nor Shamsiah, BNM terus memenuhi mandatnya untuk menggalakkan kestabilan monetari dan juga kewangan meskipun melalui banyak tempoh yang mencabar termasuk krisis pandemik.

“Beliau juga telah memulakan pelbagai inisiatif pemodenan organisasi untuk membentuk semula dan meletakkan Bank pada kedudukan yang lebih baik untuk memanfaatkan peluang dan menangani cabaran pada masa hadapan. Saya akan berusaha dan memberikan yang terbaik dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai Gabenor,” katanya.

Sementara itu, Nor Shamsiah menyifatkan, sepanjang lima tahun beliau menerajui BNM dan ia merupakan satu penghormatan kepadanya.

Malah, beliau turut berterima kasih kerana diberi peluang untuk memimpin BNM dan berkhidmat untuk negara, terutamanya semasa keadaan tidak menentu dan sangat penting kepada negara.

“Saya percaya Abdul Rasheed merupakan pilihan yang tepat untuk menerajui Bank sebagai Gabenor, setelah bertahun-tahun bekerjasama rapat dengan beliau.

“Saya yakin dengan keupayaan beliau untuk memimpin Bank bagi terus memenuhi mandat Bank iaitu menggalakkan kestabilan monetari dan kestabilan kewangan yang kondusif bagi pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mampan,” katanya.

Sehubungan itu, Lembaga Pengarah BNM merakamkan penghargaan kepada Nor Shamsiah atas sumbangan dan perkhidmatan beliau kepada BNM dan negara.

Jelasnya, Nor Shamsiah telah menunjukkan kepimpinan terbaik dan komitmen yang luar biasa dalam melaksanakan tanggungjawab beliau sebagai Gabenor dan Pengerusi Lembaga Pengarah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI