fbpx

SPM 2022: Layan lagu K-Pop, tuah peroleh keputusan 9A+

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bhuvenraj (dua dari kiri) ditemani ahli keluarga ketika pengumuman keputusan SPM di Penang Free School hari ini. -Foto oleh IQBAL HAMDAN / KOSMO!

GEORGE TOWN – Seorang peminat tegar kumpulan Blackpink dan juga muzik K-Pop, G. Bhuvenraj,18, tidak menyangka yang dia berjaya memperoleh keputusan cemerlang 9A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022.

Pelajar cemerlang aliran Sains dari Penang Free School itu berkata, dia mendengar muzik daripada kumpulan K-Pop terkenal itu setiap malam sebagai penghilang stress ketika mengulangkaji pelajaran.

“Keputusan 9A+ ini memang tidak dijangka kerana soalan SPM agak sukar terutama bagi subjek Biologi yang memerlukan kita menghafal dan mengingat banyak perkara.

“Saya tidak mahu terlalu tertekan ketika mengulangkaji pelajaran, jadi setiap malam lagu-lagu dendangan kumpulan Blackpink menjadi peneman untuk saya menghilangkan stress ketika belajar,” katanya ketika ditemui di Penang Free School, di sini hari ini.

Dia memperoleh A+ dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Moral, Sejarah, Matematik, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia dan Biologi.

Bhuvenraj yang merupakan anak tunggal berkata, dia banyak mengulangkaji soalan-soalan percubaan SPM terdahulu bagi mendapat teknik-teknik sesuai untuk menjawab soalan peperiksaan SPM 2022.

“Saya juga selesa mengulangkaji sendiri di rumah dan turut mengambil kelas tuisyen sebagai persediaan untuk menghadapi peperiksaan.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada guru, ibu bapa dan rakan-rakan sekolah lain yang banyak membantu saya sepanjang menghadapi peperiksaan,” katanya.

Tambahnya, dia yang meminati mata pelajaran Matematik merancang untuk menyambung pelajaran ke peringkat A Level dan seterusnya ke peringkat universiti.

Dalam pada itu, ibu kepada Bhuvenraj yang merupakan pensyarah sambilan di sebuah kolej swasta, R. Sunitha, 49, pula memberitahu, dia memberikan kebebasan kepada anak tunggalnya itu untuk memilih haluan tersendiri dalam hidupnya.

“Saya tahu dia peminat tegar kumpulan Blackpink dan tidak pernah melarangnya daripada meminati kumpulan berkenaan.

“Malah saya melihat dia menyanyi dan menari lagu kumpulan Blackpink semasa mengulangkaji pelajaran, saya dan bapanya memberi galakan untuk dia lakukan apa yang dia minati asalkan ia tidak mengganggu pelajaran,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI