PETALING JAYA – Lebih ramai individu bujang di negara ini dijangka mencari pasangan untuk menamatkan zaman solo masing-masing melalui media sosial seperti Twitter, TikTok, Facebook dan Instagram.
Kaedah itu dilihat lebih mudah memandangkan lelaki dan wanita sekarang sibuk dengan kerjaya selain media sosial yang mudah didekati dan kurang risiko menanggung malu jika cinta ditolak kenalan maya.
Pakar Perunding Kaunselor Kekeluargaan dan Perkahwinan, Hushim Salleh berkata, ketika ini, kira-kira 10 peratus atau 10,000 pasangan di Malaysia yang mendirikan rumah tangga menemui ‘cinta hati’ masing-masing di platform media sosial.
“Saya menjangkakan peratusan itu boleh mencecah mencecah sehingga 50 peratus dalam tempoh dua atau tiga tahun akan datang.
“Jika dalam setahun ada seramai 100,000 pasangan yang berkahwin, maka 10 peratus daripada mereka berkenalan dan menemui pasangan di TikTok, Twitter dan platform media sosial lain,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Menurut Hushim, secara peribadi, beliau melihat kewujudan platform media sosial menjadi alternatif terbaik kepada orang bujang yang sedang mencari pasangan untuk melangkah ke tahap lebih serius seperti berkahwin.
“Berkongsi hantaran dan ciapan di media sosial merupakan salah satu usaha mencari jodoh.

“Media sosial ini mudah diakses dan sesiapa sahaja boleh melihat profil kita walaupun tidak berkawan antara satu sama lain,” ujarnya.
Jelas Hushim, mereka terutama golongan wanita yang bekerjaya dan mempunyai masa yang terhad boleh menggunakan media sosial untuk mencari pasangan sebagai alternatif.
“Ramai golongan wanita menghabiskan masa dengan belajar. Bila sudah bekerja dan memiliki gaji besar, mereka sukar hendak mencari jodoh kerana ramai lelaki yang ada di luar sana tidak sekufu atau sepadan.
“Jadi ramai lelaki mengadu apabila kita adakan kaunseling, saya bertanya kenapa mereka tidak mahu berkahwin, dia beri alasan sebab hantaran mahal, lagi-lagi wanita yang mempunyai kerjaya yang stabil.
“Jadi mereka takut untuk menegur atau mendekati wanita secara bersemuka,” katanya.
Berita berkaitan: Anak dara, teruna guna TikTok untuk cari jodoh
Berita berkaitan: Hati-hati cari pasangan, jangan sampai terpilih suami orang
Mengulas lanjut, Hushim turut memberikan saranan dan nasihat kepada individu bujang bagi memastikan proses mencari pasangan menerusi media sosial berjalan dengan lancar.
“Jika mahu mendekati seseorang lelaki atau wanita, gunakan bahasa yang sopan.
“Kita mencari calon pasangan secara maya bukan secara depan-depan (bersemuka), jadi pastikan ayat-ayat yang digunakan adalah sesuai.
“Memulakan perbualan menerusi kiriman mesej dengan bahasa-bahasa yang indah, sebab kalau bahasa cantik, ia menggambarkan peribadi yang baik. Baru calon pasangan mudah jatuh hati,” katanya.
Tambah beliau, paling utama setiap individu yang mencari pasangan hidup perlu jujur walaupun berkenalan secara online.
“Mentang-mentang tidak berjumpa, suami orang pun hendak mengaku sebagai individu bujang,” pesannya.














