fbpx

Perak sedia jual pasir, batu kepada Pulau Pinang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saarani (tengah) bergambar bersama wakil-wakil GLC yang menyumbangkan lembu korban kepada kerajaan negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh, Perak hari ini. - Foto oleh MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA/ KOSMO!

IPOH – Perak bersedia menjual pasir dan batu kepada Pulau Pinang sekiranya mendapat permintaan bagi projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSI) biarpun Kedah mengumumkan tidak akan menjual bahan mineral itu kepada negeri berkenaan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, permintaan bahan mineral itu boleh dipertimbangkan sekiranya kerajaan negeri ditawarkan dengan harga yang berpatutan.

“Kita kena lihat keperluannya sebelum menjual pasir dan batu kepada Pulau Pinang. Sekarang ini pun, memang Perak ada menjual pasir.

“Jadi, kita tentu akan menjualnya kalau ada permintaan dengan harga berpatutan dan boleh memberi keuntungan baharu kepada negeri Perak. Kenapa tidak?” katanya kepada pemberita selepas Majlis Akad Penyerahan Lembu Korban Sumbangan kepada kerajaan negeri di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Noor mengisytiharkan tidak akan menjual pasir dan batu kepada Pulau Pinang bagi projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang.

Sementara itu, dalam program hari ini, kerajaan Perak menerima 400 ekor lembu korban bernilai RM2.92 juta hasil sumbangan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri Perak.

Saarani berkata, GLC yang terlibat menyerahkan sumbangan berkenaan ialah Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP), Lembaga Air Perak (LAP), Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI), Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk).

Dalam program itu, PPPNP menyerahkan 220 ekor lembu korban bernilai RM1.66 juta manakala PKNP dan MBinc menyerahkan 40 ekor lembu korban (RM280,000) manakala SSI serta LAP menyerahkan 50 ekor lembu bernilai RM350,000.

Menurutnya, setiap 59 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), termasuklah DUN pembangkang akan menerima lima ekor lembu korban. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI