fbpx

Dewan Rakyat riuh, ‘Bak kut teh’ dicadang jadi makanan kebangsaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
(Dari kiri) Mohd. Suhaimi, Khairul Firdaus dan Jimmy di Dewan Rakyat, hari ini.

KUALA LUMPUR – Bak kut teh iaitu makanan popular dalam kalangan masyarakat Cina menjadi tumpuan pada sesi Dewan Rakyat hari ini, selepas kewajarannya diangkat sebagai makanan kebangsaan dipersoalkan oleh Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohd. Suhaimi Abdullah.

Ia susulan pertanyaan daripada Jimmy Puah Wee Tse (Tebrau-PH) berhubung usaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk memastikan makanan tradisi rakyat Malaysia seperti nasi lemak, bak kut teh dan laksa diangkat martabat sebagai makanan kebangsaan Malaysia.

Pertanyaan itu kemudiannya dijawab oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan seterusnya disusuli dengan soalan tambahan oleh Mohd. Suhaimi (Langkawi-PN).

“Saya nak tanya, sejak bila bak kut teh jadi makanan tradisi Malaysia. Dalam saya lihat 10 makanan tradisional paling popular, tidak ada bak kut teh. Selain itu, 30 makanan kaum-kaum Malaysia, tak ada bak kut teh. Saya boleh baca sikit (sambil membacakan beberapa makanan popular).

“Jadi soalan saya, sejak bila bak kut teh dimasukkan, adakah menteri setuju untuk masukkan seperti diminta Tebrau,” kata Mohd. Suhaimi di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, Khairul Firdaus menjelaskan, makanan yang dimasukkan di dalam makanan warisan seharusnya yang boleh dimakan dan dirasai semua kaum di negara ini.

“Untuk kita memasukkan setiap jenis makanan sebagai makanan warisan, saya sedikit sebanyak setuju dengan pandangan Langkawi kerana ia memerlukan satu prospek iaitu makanan yang boleh dimakan kesemua rakyat Malaysia.

“Kalau bak kut teh menyediakan ayam, bolehlah. Tapi kalau bak kut teh dibangkitkan Tebrau… dia tak bagi secara spesifik jenis apa, saya tak boleh jawab secara spesifik. Pokoknya memasukkan makanan warisan harus yang boleh dimakan, dirasai semua kaum di negara kita,” katanya.

Menerusi carian di Google, bak kut teh merupakan sejenis hidangan sup berserta daging rusuk terutamanya babi yang dimasak menggunakan herba tradisi Cina.

Terdahulu, Jimmy pada sidang tersebut memberitahu, beliau mengajukan soalan itu selepas menonton dokumentari di Channel News Asia sekali gus mempertikaikan asal hidangan bak kut teh.

“Kita tahu asal Klang, Selangor tapi dokumentari itu seolah-olah mungkin negara jiran. Saya terkilan dan geram sikit. Harap kerajaan cuba mempertahankan makanan warisan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI