fbpx

Pengguna seolah-olah ‘dipaksa’ beli gula premium

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZAMI menunjukkan satu peket gula pasir sahaja yang dibenarkan dibeli semasa berurus niaga di sebuah pasar borong di Sungai Petani semalam.

Oleh LUQMAN RIDHWAN MOHD. NOR dan OTHMAN YAHAYA

SUNGAI PETANI – Pengguna dan peniaga kecil di daerah Kuala Muda mendakwa bekalan gula bersubsidi berkurangan di pasaran sejak kelmarin, namun mereka seolah-olah dipaksa oleh pekedai untuk membeli gula premium yang lebih mahal.

Peniaga pasar malam, Azami Awang, 51, berkata, kesukaran memperoleh bekalan gula kasar bersubsidi pada harga RM2.85 sekilogram (kg) menghantui peniaga kecil sepertinya kerana masalah itu menjejaskan perniagaannya.

“Banyak syarat yang ditetapkan pemilik premis perniagaan sama ada di kedai runcit, kedai borong atau pasar raya untuk mendapatkan bekalan itu.

“Antaranya ialah mengehadkan belian satu peket gula sahaja, perlu membeli barangan lain untuk mendapatkan bekalan itu dan terbaru perlu beli gula premium berharga RM4.60 sebelum dibenar dapatkan gula kasar bersaiz satu kg,” katanya ketika di­temui, di sini semalam.

Mohamad Nasaruddin Bakar, 50, pula berkata, kesukaran memperoleh gula bersubsidi memang menjejaskan perniagaan kedai makan yang diusahakan­nya di Taman Ria Jaya, di sini sejak beberapa hari lalu.

“Walaupun saya merupakan pe­langgan tetap di sebuah kedai borong, namun saya dan beberapa rakan peniaga lain sukar mendapatkan stok gula sejak Khamis lalu.

“Setiap seorang daripada kami hanya dibenarkan membeli satu peket gula kasar bersubsidi walaupun berbelanja barangan lain beratus ringgit,” katanya.

Dakwanya lagi, apa yang menghairankan ialah gula pre­mium pula boleh didapati de­ngan banyak dan tiada had pembelian dikenakan.

Namun, katanya, sebagai peniaga mereka tidak boleh menggunakan gula premium kerana harganya tinggi dan boleh menjejaskan perniagaan.

Seorang ibu tunggal, Latipah Abu, 50, berkata, dia terkejut apabila peniaga runcit di beberapa buah premis di Taman Ria Jaya mengehadkan pembelian gula subsidi kepada satu peket sahaja.

“Sebelum ini kami boleh membeli dua peket gula apabila turut membeli barangan lain di premis itu tetapi sejak kelmarin gula kasar satu kilogram tiada stok.

“Saya terpaksa mencari di pasar raya berdekatan terma­suk membeli gula premium yang tinggi harganya,” katanya.

ANTARA kedai runcit di Gerik yang masih belum menerima bekalan gula daripada pembekal.

Di Gerik, Perak, Pengerusi Persatuan Anak Gerik Di Perantauan (Pagar), Tajuddin M. Ali berkata, ada pengguna dan peniaga memaklumkan pihaknya bahawa masalah bekalan gula telah dihadapi mereka sejak tiga minggu lalu.

“Pengusaha berasaskan makanan serta minuman terjejas teruk kerana stok gula sangat terhad, begitu juga dengan penduduk sekitar Gerik apabila mereka hanya dibenarkan untuk membeli sekilogram gula setiap orang oleh peruncit.

“Ini kerana ada dalam kala­ngan peruncit memilih untuk menjual gula dalam kuantiti banyak kepada pelanggan yang mereka kenali sahaja,” katanya.

Pada masa sama, seorang pengguna, Mohd. Ramli Hamdan, 34, berkata, penduduk yang tinggal jauh dari pekan Gerik terpaksa mengeluarkan belanja le­bih bagi mendapatkan gula kerana terpaksa mengisi bahan api kenderaan semata-mata bagi tujuan tersebut.

“Penduduk kampung memang harapkan kedai-kedai runcit di kawasan masing-masing untuk mendapatkan bekalan gula dan jarang ke pekan Gerik.

“Bagaimanapun, sejak beberapa minggu lalu memang terpaksa ke pekan kerana sudah lama tak nampak gula dijual di kedai-kedai runcit,” katanya.

Seorang peniaga makanan, Siti Hawa Mohd. Zin, 53, berkata, persepsi umum mengatakan masalah gula tidak ketara di kawasan pekan Gerik, namun hakikatnya ia dijual dalam jumlah yang terhad.

Dia menjelaskan, orang ramai kerap memantau pasar raya bagi mendapatkan bekalan gula menyebabkan ia habis dijual sekelip mata setiap kali premis berkenaan menerima bekalan baharu.

“Apabila pasar raya menerima bekalan dan menjualnya, sekejap sahaja ia sudah habis terjual ke­rana memang orang ramai me­nunggu untuk membelinya.

“Di­sebabkan itu memang susah nak beli gula di Gerik,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI