fbpx

Lelaki peranakan Baba Nyonya kini vokalis utama May

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KUMPULAN May bersama vokalis baharu mereka, Kelvin yang menggantikan posisi penyanyi utama lama, Muss. - FAIZ ALIF ZUBIR

KUALA LUMPUR – Kumpulan rock popular, May memperkenalkan penyanyi utama baharu mereka yang merupakan lelaki berketurunan peranakan Baba Nyonya bernama Kelvin Thein sekali gus menggantikan vokalis lama, Muss.

Pemain bass kumpulan itu, Yus berkata, pemilihan lelaki berusia 29 tahun itu sesuai dengan survival May yang setia mengorak langkah setelah lebih 4 dekad sebagai sebuah kumpulan.

“Ramai orang mempersoalkan mengapa pilih lelaki berketurunan Cina sedangkan ramai lagi penyanyi berbangsa Melayu.

“Bagi saya Kelvin ada bakat yang besar. Dia boleh menyanyi, komited, berkarisma dan paling penting, dia ada karakter sebagai seorang rocker.

“Kalau tanya soal kemampuan, Kelvin boleh menyanyi lagu-lagu May dengan gayanya yang tersendiri. Dia juga diperkenalkan kepada kami oleh seorang legenda rock,” katanya yang ditemui Kosmo! Online usai sidang media Konsert Lagenda Rock Vol 1 di sebuah hotel, di sini, baru-baru ini.

Selain May, konsert anjuran Mutiara Optimum Sdn. Bhd. itu turut menampilkan kumpulan rock era 1980-an dan 1990-an seperti XPDC, Rusty Blade dan Babylon.

Sementara itu, Kelvin berkata, dia sangat meminati kumpulan sedari kecil dan tidak sangka dapat menyertai kumpulan rock tersebut.

“Bapa saya juga mempunyai latar belakang dalam bidang muzik. Saya masih ingat ketika kecil, dia selalu pasangkan lagu-lagu rock dan dari situ, saya mula mengenali lagu dendangan May seperti Sendiri,” katanya.

Kelvin menjelaskan, jurang usianya yang masih muda berbanding ahli-ahli lain tidak menghalang dirinya mencipta sinergi bagi meneruskan jenama muzik kumpulan ternama itu.

“Saya terima untuk menyertai May sebab mereka semua (ahli kumpulan) layan saya dengan baik.

“Sejak sesi uji bakat lagi, saya sudah rasa selesa dengan anggota May, sekali gus menjadikan semua berjalan lancar.

“Sekarang, 50 peratus lagu May saya sudah hafal,” kata Kelvin lagi.

Konsert Lagenda Rock Vol 1 akan berlangsung di di Megastar Arena Sg Wang Plaza, Kuala Lumpur pada 16 Julai depan.

Sebarang maklumat pembelian tiket boleh didapati menerusi laman sesawang, www.myticket.asia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI