fbpx

Rakyat boleh mohon terus baiki jalan, dewan kepada kerajaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rafizi ketika berucap pada Sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) hari ini. -Foto SHIDDIEQIIN ZON

SHAH ALAM – Kementerian Ekonomi sedang merancang supaya sebarang peruntukan melibatkan projek-projek rakyat boleh dimohon oleh semua rakyat di negara ini.

Menterinya, Rafizi Ramli berkata, ini membolehkan permohonan itu dilakukan terus kepada kementeriannya tanpa sebarang tapisan atau proses daripada mana-mana jabatan atau agensi.

Katanya, perubahan itu bagi mendemokrasikan peruntukan-peruntukan kecil kepada rakyat seperti memperbesarkan longkang atau membaiki jalan.

“Masa kita menjadi pembangkang dulu, sebagai wakil rakyat saya terpaksa buat macam-macam termasuk meminta ‘zakat’ daripada kawan untuk benda kecik sahaja seperti baiki longkang sikit sahaja dan jalan rumah.

“Bila kita beritahu perlu melalui proses, saya pun kena memohon, tunggu jabatan, PBT( pihak berkuasa tempatan) dan peruntukan.

“Jadi, kita sedang merancang supaya peruntukkan besar untuk projek-projek rakyat seperti itu, boleh dimohon terus kepada Kementerian Ekonomi oleh sesiapa sahaja dalam Malaysia. Tidak perlu lapisan-lapisan semua ini,” katanya ketika berucap pada Sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), hari ini.

Menurut beliau, langkah tersebut merupakan situasi menang-menang dan seterusnya memudahkan wakil rakyat termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerana permohonan boleh dilakukan terus kepada Kementerian Ekonomi.

Tambah Rafizi, pihaknya akan melihat kesesuaian pelaksanaannya dan peruntukan kewangan sama ada projek itu akan dibuat oleh pejabat daerah atau PBT.

“Ini membuka peluang sama rata kepada semua negeri, orang. Kalau tidak, menteri yang bertanggungjawab kepada peruntukan iaitu saya akan menjadi terlalu berkuasa sebab ikut dia hendak bagi kepada siapa.

“Sistem yang ada kalau tidak dibuka, nanti saya kena menjawab akhirnya kepada siapa yang dibagi. Mungkin ada orang rasa ada tidak pernah tahu mempunyai hak untuk memohon membaiki longkang, dewan dan sebagainya,” katanya.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, sejumlah besar peruntukan akan disediakan bagi pelaksanaannya di seluruh negara dan melihat terhadap sambutan rakyat.

“Tetapi siapa yang hantar, mencuba dan ada orang tidak hantar. Maka rakyat di kawasan dia tidak dapat peruntukan itu.

“Dapat atau tidak (peruntukan permohonan), kami kena melalui proseslah. Kita kena bekerjasama dengan pejabat daerah dan sebagainya,” katanya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI