fbpx

K2

Tunai impian anak yatim terbang di awan biru

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Beberapa kru penerbangan riang melayani anak-anak kurang bernasib baik ini di dalam pesawat.

SERING kali kita dengar anak-anak kurang bernasib baik dibawa membeli-belah, dijamu hidangan atau menerima sumbangan kala meraikan bulan-bulan penuh kemuliaan Ramadan dan Syawal, namun sebuah syarikat penerbangan menarik perhatian apabila membawa anak-anak yatim terbang di awan biru.

Baru-baru ini, syarikat penerbangan kos rendah, MYAirline menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR) mengambil inisiatif membawa seramai 24 anak yatim menaiki penerbangan ke Pulau Langkawi, Kedah.

CSR pertama syarikat penerbangan terbaharu tanah air ke pulau legenda itu turut membawa empat penjaga yang terdiri daripada guru-guru dari Rumah Bakti Nur Ain, Bangi di Selangor.

Kesemua 24 anak yatim yang terdiri daripada kanak-kanak dan remaja berumur antara tujuh hingga 17 tahun itu diraikan dengan menaiki penerbangan dari Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Pulau Langkawi sebelum berpatah balik ke ibu negara.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MYAirline, Rayner Teo, pihaknya berbesar hati dapat menjadi tuan rumah dan membawa kesemua anak-anak pertubuhan tersebut merasai sendiri pengalaman terbang di awan biru.

“Kami benar-benar percaya dan ingin memberi semula kepada masyarakat sekali gus menunaikan impian untuk kanak-kanak ini terbang bersama kami dan rasai sendiri produk serta perkhidmatan yang kami tawarkan.

“Bagi kami, ini adalah peluang keemasan yang dinanti-nantikan untuk berbakti kepada masyarakat dalam usaha menyantuni golongan yang memerlukan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Seramai 24 anak yatim dari Rumah Bakti Nur Ain, Bangi bersama beberapa guru mereka diraikan MYAirline sempena musim perayaaan baru-baru ini.

Pada masa sama, Rayner berharap, dengan program sedemikian rupa, anak-anak dari Rumah Bakti Nur Ain akan terus berusaha untuk maju jaya dalam pendidikan.

“Saya mengharapkan agar anda semua akan terus berusaha untuk menggapai masa depan yang lebih baik.

“Kekurangan yang ada pada diri bukanlah satu penghalang untuk kita mengorak langkah dan terus berjaya kelak,” katanya.

Pada masa sama, Rayner komited untuk meneruskan pelbagai program dan inisiatif menerusi CSR di bawah kendalian syarikat mereka pada masa akan datang.

Terdahulu, dalam penerbangan pulang ke Kuala Lumpur menggunakan pesawat Airbus A320-200 dengan nombor penerbangan Z97704 itu, pelbagai aktiviti dan permainan disusun atur dengan tawaran hadiah.

Mereka juga berpeluang memasuki kokpit sebaik tiba di Terminal 2, KLIA serta merakamkan gambar kenangan bersama kru bertugas termasuk juruterbang.

Selain pengalaman di udara, MYAirline turut menghidangkan menu istimewa Ayam Rendang Beraya yang dicipta khas untuk musim perayaan Aidilfitri.

Sementara itu, pengerusi Rumah Bakti Nur Ain, Shaizul Karnon Nasir menyifatkan inisiatif julung-julung kali dianjurkan MYAirline merupakan satu perkara positif dalam menyantuni mereka yang kurang bernasib baik.

“Saya rasa gembira atas usaha dan inisiatif MYAirline membawa semua 24 anak-anak dari Rumah Bakti Nur Ain. Cuma ada seorang sahaja pelajar yang tidak dapat ikut disebabkan masalah kesihatan.

“Menerusi program murni ini, anak-anak dapat didedahkan dengan pengangkutan udara secara lebih dekat sekali gus mampu menarik minat mereka untuk bekerja dalam industri penerbangan kelak.

“Pengalaman cukup berharga ini pasti tidak akan dilupakan mereka semua. Terima kasih dan diharapkan program sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI