fbpx

Raja Nusyirwan dilantik Ketua Pengarah Keselamatan Negara baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Raja Nusyirwan.

PUTRAJAYA – Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Raja Nushirwan Zainal Abidin dilantik sebagai Ketua Pengarah Keselamatan Negara baharu berkuat kuasa hari ini.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, beliau berpengalaman luas dalam perkhidmatan awam dengan pengkhususan kepada hubungan antarabangsa.

Raja Nushirwan, 53, pernah ditempatkan di pelbagai negara termasuk Amerika Syarikat, Sweden dan Singapura.

“Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Abertay, Dundee, Scotland.

“Beliau memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 21 Mac 1994 dan ditempatkan di Kementerian Luar Negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Zuki berkata, kerajaan berharap pelantikan beliau sebagai Ketua Pengarah Keselamatan Negara akan memacu kecemerlangan Majlis Keselamatan Negara.

Ini terutamanya dalam menerajui penggubalan dasar dan pengurusan keselamatan negara secara
komprehensif, bersepadu dan berkesan dalam memastikan negara kekal aman, sejahtera serta berdaulat.

Sementara itu, Ketua Pengarah Keselamatan Negara sebelum ini, Datuk Rodzi Md. Saad dilantik
sebagai Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Jabatan Perdana Menteri berkuat kuasa tarikh sama.

Rodzi, 59, berkelulusan Sarjana dalam bidang Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi dari Universiti Teknologi MARA dan Ijazah Sarjana Muda Demografi dan Kajian Kependudukan (Kepujian) dari Universiti Malaya.

Menurut Mohd. Zuki, beliau berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 33 tahun serta berpengalaman luas dalam pengurusan dan pentadbiran keselamatan negara meliputi pelbagai aspek termasuk sempadan, maritim serta keselamatan siber.

“Semoga pelantikan beliau sebagai Ketua Pengarah MAMPU akan memacu kecemerlangan unit ini dalam menerajui pemodenan penyampaian perkhidmatan awam melalui inovasi dan pendigitalan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI