fbpx

Penunggang motosikal tak puas hati, tendang kereta tukar lorong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video tular yang dimuat naik di akaun Facebook, Ryan Foong.

PETALING JAYA – Gara-gara tidak berpuas hati, seorang penunggang motosikal bertindak menendang sebuah kereta yang menukar lorong secara berbahaya, di Lebuh Raya Damansara-Puchong, di sini, Jumaat lalu.

Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 8.50 malam itu dirakam menerusi kamera papan pemuka kenderaan lain yang dimuat naik di akaun Facebook, Ryan Foong.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya telah mengesan video yang tular tersebut kira-kira pukul 8 malam, semalam.

Menurutnya, video itu memaparkan sebuah motosikal di mana jenis dan nombor pendaftaran tidak dapat dipastikan, membuat aksi menendang sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang sedang memandu di lorong kanan.

“Kejadian dipercayai berlaku ekoran penunggang motosikal tidak berpuas hati terhadap pemandu kereta yang menukar lorong secara berbahaya.

“Hasil pemerhatian, tiada kemalangan atau kecederaan kepada pengguna jalan raya yang lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohamad Fakhrudin, pihaknya meminta perakam insiden untuk tampil ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Daerah Polis Petaling Jaya dan hubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Muhammad Hisyam Azih di talian 017-7378704 untuk membantu siasatan.

Ujarnya lagi, siasatan diteruskan di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Pihak polis ingin mengingatkan serta memohon semua pengguna jalan raya untuk sentiasa patuh undang-undang bagi mengelak sebarang kejadian kemalangan.

“Kami tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pemandu yang memandu secara berbahaya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI