fbpx

Budak lelaki tiada cuping telinga, hadapi masalah tulang belakang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. SABRI (kiri) melayan anaknya, Ahmad Shaheer Rafael di rumah mereka di Kampung Titian Rawa, Bukit Payung, Marang baru-baru ini.

MARANG – Seorang bapa reda zuriat yang dinantinya bersama isteri selama sembilan tahun ditakdirkan tergolong sebagai orang kelainan upaya (OKU).

Mohd. Sabri Samsudin, 38, berkata, anak lelakinya, Ahmad Shaheer Rafael yang kini berusia setahun dilahirkan tanpa cuping pada kedua-dua belah telinga selain menghadapi masalah pada lelangit dan tulang belakang.

“Jantung Ahmad Shaheer juga berlubang. Keadaan itu menyebabkan bayi saya memerlukan penjagaan khusus termasuk hanya boleh minum susu khas,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Titian Rawa, Bukit Payung di sini baru-baru ini.

Mohd. Sabri berkata, Ahmad Shaheer Rafael yang kini memiliki berat enam kilogram hanya boleh menerima susu khas.

Dia yang cuma bekerja kampung memberitahu, terpaksa membawa anak tunggalnya itu ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu hampir setiap bulan untuk rawatan lanjutan berkaitan tulang belakang dan jantung.

“Selain itu, saya dan isteri, Roslina Mohd. Zin, 34, perlu membawa Ahmad Shaheer Rafael ke Hospital Kemaman bagi pemeriksaan telinga.

“Setakat ini, masih belum dapat diketahui tahap pendengaran anak saya, namun ketiadaan cuping telinga mungkin sedikit sebanyak memberi kesan,” ujar­nya sebak.

Mohd. Sabri berkata, Ahmad Shaheer Rafael perlu menjalani pembedahan membetulkan tulang belakang yang masih belum ditentukan tarikh dan kosnya.

Begitupun, dia sedikit lega kerana dimaklumkan masalah jantung berlubang anak lelakinya semakin pulih.

“Kos rawatan, susu khas dan pengangkutan ulang-alik ke dua-dua yang berlainan daerah menelan belanja lebih RM1,000 sebulan,” katanya.

Orang ramai yang bersimpati boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun bank Roslina bernombor 163046263680 (Maybank).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI