fbpx

50 unit bubu naga bernilai RM3,500 dirampas di Kuala Gula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota APMM merampas bubu naga yang ditemui di perairan Kuala Gula di Parit Buntar kelmarin.

PARIT BUNTAR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Kurau telah merampas 50 unit bubu naga di kedudukan 5.9 batu nautika barat daya Kuala Gula, di sini, pada sekitar pukul 3.40 petang kelmarin.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd. Najhan Azman Hamid berkata, semasa rondaan rutin di perairan Kerian dan Larut Matang, pasukan bot perondanya telah mengesan pelampung berwarna putih yang disyaki penanda kepada bubu naga.

“Pemeriksaan lanjut ke atas pelampung itu menemukan sebanyak 50 unit bubu naga berada di lokasi tersebut. Kesemua bubu naga yang dirampas dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut.

“Anggaran nilai rampasan pada kali ini dianggarkan berjumlah RM3,500 dengan anggaran RM70 seunit,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 11 (3)(c) Akta Perikanan 1985 iaitu memasang atau menyebabkan dipasang apa-apa belat ikan, peralatan menangkap ikan atau peranti mengumpul ikan tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

“Untuk rekod bermula awal Mei 2023 sehingga kini, sebanyak 132 unit bubu naga berjaya dirampas Zon Maritim Kuala Kurau menjadikan anggaran jumlah keseluruhan rampasan adalah sebanyak RM9,240,” katanya.

Tambahnya, sebarang aduan, salah laku dan insiden kecemasan yang berlaku di laut boleh dilaporkan kepada Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau di talian 05-7279919 atau MERS 999 untuk maklum balas segera. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI