fbpx

Pakej WPC11 Lebuh Raya Pan Borneo 89 peratus siap – Alexander

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lebuh Raya Pan Borneo.

PETALING JAYA – Projek Lebuh Raya Pan Borneo, Pakej WPC11 dari Sungai Tangap ke Pujut Link di Miri, Sarawak telah 89 peratus siap.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, peratusan tersebut tidak termasuk pembinaan viaduct (jejambat) dan pengalihan utiliti paip bekalan air sepanjang 4.5 kilometer (km).

Jelasnya, pakej WPC 11 itu dijangka siap secara berperingkat pada tahun ini sehingga 2026.

“Hari ini, saya berkesempatan turun ke tapak Projek Pan Borneo Pakej WPC11 Sg Tangap – Pujut Link Miri Sarawak, di mana sebuah viaduct sepanjang 400 meter akan dibina.

“Difahamkan, semasa kerja-kerja pembinaan tambakan jalan dilaksanakan di kawasan ini, tanah yang ditambak telah mengalami masalah mendapan sehingga 0.5 meter.

“Pasukan Projek Pan Borneo telah mengesyorkan supaya struktur viaduct dibina di atas jajaran laluan yang mengalami masalah mendapan tanah.

‘Rekabentuk viaduct juga telah disiapkan. Kerja-kerja pembinaan viaduct berkenaan dijangka bermula pada suku ketiga tahun 2023 dan dijangka siap pada tahun 2025,” tulisnya di laman Facebook hari ini.

Alexander (tiga dari kanan) ketika meninjau Pakej WPC11, Lebuh Raya Pan Borneo hari ini.

Alexander berkata, kerja-kerja pembinaan viaduct tidak akan mengganggu trafik, kerana pengguna masih boleh menggunakan jalan sedia ada di bersebelahan.

“Lokasi lawatan kali ini juga tertumpu di Jejambat Simpang Bekenu, Seksyen Lambir di mana kerja-kerja pembinaan turapan sedang dijalankan,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau turut berkongsi lawatannya ke ke bulatan Pujut 3 (Bulatan GK), bagi melihat sendiri keadaan trafik yang melalui bulatan berkenaan.

“Saya dimaklumkan bahawa jalan dan bulatan berkenaan sering mengalami kesesakan trafik dan telah mencapai Level of Service E ( LOS E ).

“Jumlah trafik yang meningkat mendadak di sepanjang Jaln Pujut-Lutong ini telah menyebabkan kesesakan yang teruk pada waktu puncak kerana jalan ini merupakan laluan utama dari kawasan sekitar ke Bandar Miri.

“Saya dimaklumkan juga permohonan menaik taraf bulatan serta laluan ini sepanjang 3 km telah dibuat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dan telah diangkat oleh Kementerian Kerja Raya ke dalam Rolling Plan 4, Rancangan Malaysia keduabelas ( RP4, RMKe12 ),” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI