fbpx

Malaysia Masters: Aaron-Wooi Yik ‘berpeluh’ ke pusingan kedua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pasangan beregu lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik ketika menentang pasangan Indonesia, Pramudya Kusumawardana dan Yeremia Rambitan pada Kejohanan Badminton Perodua Malaysia Masters 2023, di Stadium Axiata Arena, di sini hari ini. Foto: SHIDDIEQIIN ZON

KUALA LUMPUR – Beregu lelaki No.1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik meneruskan kemaraan ke pusingan kedua pada Kejohanan Badminton Malaysia Masters selepas menewaskan wakil Indonesia, Pramudya Kusumawardana-Yeremia Rambitan sebentar tadi.

Pada aksi pusingan pertama yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, juara dunia itu dipaksa bermandi peluh sebelum memastikan kemenangan dalam aksi tiga set 21-18, 10-21, 23-21.

Wooi Yik berkata, meskipun tidak beraksi pada tahap terbaik kerana baru sahaja tiba di tanah air dari saingan Piala Sudirman 2023 di Suzhou, China semalam, namun mereka tetap memberikan segala-galanya.

“Saya harus akui perlawanan hari ini bukan tahap 100 peratus kerana jadual kami agak padat. Sebenarnya, kami perlukan rehat bagi memastikan badan cergas sepenuhnya apabila turun bertanding.

“Bagaimanapun, saya tidak mahu jadikan ia (penat) sebagai alasan dan harap satu hari rehat ini (esok), kami boleh gunakan dengan baik supaya turun Khamis nanti lebih cergas,” katanya sejurus tamat perlawanan.

Menanti Aaron-Wooi Yik di pusingan kedua Khamis nanti adalah beregu Korea Selatan, Choi Sol Gyu-Kim Won Ho yang menewaskan Christo Popov-Toma Junior Popov dari Perancis 24-22, 21-10.

Sementara itu, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin turut memastikan tempat ke pusingan kedua selepas menyingkirkan beregu China, Ren Xiang Yu-Tan Qiang menerusi kemenangan straight set 21-16, 21-18.

Man Wei Chong-Tee Kai Wun turut cemerlang apabila melakar kejutan selepas menewaskan pilihan ketujuh dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dengan keputusan 25-23, 21-16.

Turut mengikut jejak langkah ke pusingan kedua esok adalah beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah selepas mudah menewaskan gandingan Bulgaria, Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva 21-17, 21-14. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI