fbpx

Jualan Rahmah tampung masalah bekalan gula di Kedah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melaksanakan Jualan Rahmah bagi mengatasi masalah bekalan gula yang terjejas di beberapa kawasan di Kedah sejak minggu lalu.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pihaknya memandang serius isu bekalan gula yang berlaku di negeri berkenaan dan inisiatif Jualan Rahmah digerakkan bermula hari ini.

Menurutnya, menerusi jualan berkenaan, pihaknya menawarkan bagi setiap dua kilogram (kg) gula dijual pada harga RM5.

“Lokasi-lokasi terlibat ialah Ben Eng Huat, Pasar Raya Kawan Kita Sik, Pasar Raya Kawan Kita Gurun dengan masing-masing menjual sebanyak 1,000kg gula.

“Pasar raya Kawan Kita Ambangan Height pula dengan jumlah jualan sebanyak 2,000kg gula,” katanya.

Salahuddin berkata, sebanyak 214 pemeriksaan berkaitan gula telah dijalankan di seluruh negeri Kedah meliputi sektor pemborong dan peruncit serta satu pemeriksaan di kilang pengeluar.

“Pemeriksaan tersebut dijalankan oleh 176 pegawai penguatkuasa KPDN Kedah menerusi Ops Manis.

“Sehingga 20 Mei 2023, kedudukan bekalan gula di 20 pemborong utama di Kedah yang dibekalkan oleh MSM Holdings Berhad dan Central Sugars Refinery Sdn Bhd, berjaya dipulihkan ke tahap 797 tan metrik,” ujarnya.

Dalam masa sama katanya, KPDN menyeru supaya pengguna tidak membuat pembelian panik kerana tindakan berkenaan boleh menjejaskan rantaian bekalan gula di pasaran.

“Sehubungan itu, kementerian ingin menasihatkan para peniaga agar menjalankan aktiviti perniagaan dengan lebih bertanggungjawab dan beretika.

“Orang ramai turut disarankan agar menjadi mata dan telinga kepada pihak kementerian dengan menyalurkan maklumat berhubung kegiatan tersebut,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI